Sasar sifar pelajar cicir menjelang tahun 2030 – TKMI

Admin
photo 2025 07 16 12 48 03

AIR ITAM – Kerajaan Negeri menyasarkan sifar keciciran pelajar menjelang tahun 2030, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid pada penganjuran Karnival Pendidikan Inklusif ‘Jom Sekolah’ yang diadakan di sini pada 16 Julai 2025.

Menurut Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu, keciciran pelajar di Pulau Pinang merekodkan kadar lapan peratus yang mana dua hingga lima peratus adalah dalam kalangan pelajar di sekolah tahfiz, manakala baki tidak bersekolah langsung.

photo 2025 07 16 12 48 00

“Justeru adalah penting untuk semua pihak berkepentingan menggemblengkan usaha dalam memastikan peratusan keciciran pelajar di negeri ini dapat dikurangkan menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan setiap anak Pulau Pinang diberikan peluang pendidikan dan berjaya tanpa mengira latar belakang.

“Hal ini bukan sahaja selaras dengan Visi Penang2030 malah prinsip Malaysia Madani dan Matlamat Pembangunan Mampan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kejayaan dalam menyediakan pendidikan inklusif menuntut pendekatan menyeluruh yang mana setiap anggota masyarakat, agensi kerajaan, swasta, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) memainkannya peranannya, tidak hanya terletak kepada pihak sekolah semata-mata.

“Oleh itu, penganjuran karnival pada hari ini merupakan salah satu platform penting dalam menurunkan kadar pelajar cicir persekolahan di Pulau Pinang,” katanya.

Difahamkan, program tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) ini menjadi platform penting yang menghimpunkan pelbagai agensi dan peringkat masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan bahawa selain sesi forum, karnival ini juga menjadi medan perkongsian ilmu termasuk menyediakan peluang pendidikan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjadikan penganjurannya sebagai pengalaman pembelajaran yang menyeluruh.

“Setiap anak-anak kita memiliki potensi yang unik. Jika kita pimpin mereka hari ini, mereka akan memimpin negeri ini kelak,” katanya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING