Seberang Perai, penggerak dan pemacu ekonomi masa hadapan Pulau Pinang – KM

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyatakan bahawa Seberang Perai adalah penggerak dan pemacu ekonomi masa hadapan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, kata beliau, Seberang Perai khususnya Butterworth perlu punyai budaya dan keunikan ia tersendiri.

“Butterworth perlu ada jiwa, apabila punyai jiwa, barulah ianya boleh bergelar bandaraya bertaraf antarabangsa.

“Serentak itu, Kerajaan Negeri turut memberi suntikan 60 peratus perbelanjaan untuk Seberang Perai (berbanding 40 peratus di bahagian pulau)… kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh biarkan Seberang Perai ketinggalan dan perlu bagi perhatian lebih,” ucapnya pada Majlis Pecah Tanah Rain Garden, Jalan Jeti Lama dan Majlis Perasmian Butterworth Art Walk di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengurus Projek Think City (ThinkCity), Murali Ram.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan; ADUN Jawi, Soon Lip Chee; Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut optimis dengan siapnya hab pengangkutan Penang Central kelak, ianya juga akan lebih merancakkan pembangunan Butterworth.

“Apabila siapnya Penang Central, ianya bakal selaras dan integrasikan pembangunan moden serta sejarah, lalu merealisasikan Projek Pembangunan Butterworth Baharu selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri. Dalam pada itu, Maimunah memaklumkan bahawa projek naik taraf bernilai RM495,528 (peruntukan MPSP dan ThinkCity) berkaitan adalah merangkumi enam komponen iaitu pembangunan platform, pembinaan pam dan alur air, pembinaan teres, bangku, lampu serta parkir letak kereta orang kurang upaya (OKU) dan basikal.

“Sejak Disember 2016, sembilan lukisan mural (fasa satu) juga telah siap di Lorong Belakang, Lorong Bagan Luar 1 atau dikenali sebagai Butterworth Art Walk.

“Ianya ilham arkitek kelahiran Butterworth, Zaini Zainul bersama-sama lapan pelukis lain… dua fasa dijangka dapat disiapkan menjelang Julai 2017 sempena Festival Pinggiran Butterworth (BFF),” jelasnya.

Konsep yang diketengahkan adalah paparan sejarah Butterworth yang telah siap antaranya, dua ekor gajah poligon, aktiviti pesawah, setem Malaya, logo Negeri Selat, gula perai, gerai air tebu, seni silat, pokok tebu dan Gabenor William John Butterworth.