Saya perlukan sokongan semua pihak, Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih baru

Admin

GEORGE TOWN – Pemain lagenda negara, Zainal Abidin Hassan dilantik sebagai Ketua Jurulatih baru pasukan bola sepak Pulau Pinang bagi memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super Musim 2017.

Pelantikan Zainal Abidin yang mula berkuat kuasa pada 27 Mac lalu adalah bagi menggantikan pengendali sebelum ini, Ashley Westwood.

Pengumuman pelantikan itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Zairil, pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira pengalaman luas Zainal Abidin sebagai pemain lagenda dan ketua jurulatih yang berpengalaman.

“Saya yakin, para pemain pasukan Pulau Pinang memang mempunyai kemahiran dan kebolehan.

“Cuma mereka memerlukan panduan motivasi dan inspirasi serta arah tujuan setelah agak kucar-kacir pada awal musim permainan tahun ini.

“Dengan kehadiran Zainal Abidin, saya percaya kita (FAP) telah menemui seorang ketua jurulatih berpengalaman yang mampu memulihkan kembali semangat pemain serta memastikan Pulau Pinang kekal dalam Liga Super pada hujung musim ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan kakitangan pengurusan FAP. Berusia 52 tahun, Zainal Abidin bukan nama asing kerana pernah menggalas tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih pasukan Selangor, ketua jurulatih pasukan Pahang, malah juga pernah bertandang ke United Kingdom selama tiga bulan untuk menimba pengalaman bersama Kelab Liga Championship Inggeris, Cardiff City FC.

Dalam pada itu, Zainal Abidin yang ditemui kemudian menyatakan bahawa beliau sedaya mungkin akan berusaha menaikkan semula mutu permainan pasukan bola sepak negeri ini.

“Apa yang lebih penting adalah sokongan daripada semua pihak untuk mengharumkan semula nama Pulau Pinang.

“Sokongan daripada pihak luar seperti penyokong, pemain, pegawai dan semua rakyat Pulau Pinang adalah perlu untuk memperbaiki kedudukan kepada yang lebih baik.

“Saya perlukan sokongan semua pihak,” serunya.

Serentak itu, Guan Eng turut mengumumkan peruntukan tambahan sejumlah RM3 juta kepada FAP, menjadikan jumlah keseluruhan diterima FAP adalah berjumlah RM7 juta bagi musim ini.