Segera tubuh JMB selesai isu caj penyelenggaraan tertunggak

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui Suruhajaya Pesuruhjaya Bangunan (COB) digesa menyegerakan prosos penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) dipohon pemaju dan komuniti pemilik tapak perumahan strata berwajib.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu boleh membantu JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC) menangani isu keengganan atau kegagalan pemilik tapak rumah berstrata membayar caj penyelenggaraan tertunggak.

“Jika JMC atau MC ini ditubuhkan, mereka boleh mengutip caj penyelenggaraan daripada komuniti untuk menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan kediaman berstrata ini.

“Lebih elok semua JMC atau MC, pemaju serta pemilik rumah berstrata diberi pemahaman mengenai hak masing-masing terlebih dahulu seperti seminar yang dianjurkan MPSP ini.

“Biarlah prosiding di mahkamah ke atas mereka yang enggan atau gagal melangsaikan caj penyelenggaraan tertunggak adalah langkah terakhir diambil JMB atau MC,” jelasnya semasa merasmikan Seminar Pemahaman Tugas & Tanggungjawab JMC/ MC Serta Pemilik Petak Komuniti Berstrata di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif. Setiasuaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta beberapa Ahli Majlis lain turut menyertai seminar tersebut.

Menurut Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, setiap pemilik tapak perumahan berstrata sebenarnya diwajibkan membayar caj penyelenggaraan, jika dirujuk pada Seksyen 23 Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).

Difahamkan, akta tersebut antara lain memberi hak kepada JMB atau MC untuk mengeluarkan Notis 14 hari sebanyak dua kali kepada mereka yang enggan atau gagal melangsaikan caj penyelenggaraan tertunggak sebelum meneruskan langkah prosiding mahkamah.

Sebelum itu, Maimunah mendedahkan, MPSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah ‘Kategori Satu’ mempunyai kira-kira 62,267 petak meliputi 941 kawasan pemajuan berstrata.

Jelasnya, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) mempunyai bangunan berstrata sebanyak 379 kawasan dengan 21,882 petak, diikuti Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) berjumlah 487 kawasan dengan 35,053 petak, dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) berjumlah 75 kawasan dengan 5,332 petak.

Dari angka itu, Maimunah memberitahu, dianggarkan hampir 186,801 warganegeri mendiami bangunan berstrata di Seberang Perai jika diandaikan tiga orang mendiami tiap-tiap petak di sini.

“Setakat September 2014, pretasi JMB/ MC bagi kategori 11 petak dan ke atas tanpa mengambil kira kawasan kurang dari 10 petak dan ke bawah, sebanyak 87.24 peratus (meliputi 335 kawasan pemajuan) di Seberang Perai telah berjaya menubuhkan JMB atau MC.

“Saya berharap dengan adanya pendedahan melalui seminar ini, para peserta akan menghebahkan kepada pemilikpemilik komuniti berstrata yang lain untuk menubuhkan JMB atau MC,” ujar Maimunah.