PERMATANG BERANGAN – Usaha menukar barang kitar semula menjadi sesuatu bernilai guna baharu atau upcycle yang diusahakan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sejak beberapa tahun lalu telah berjaya mewujudkan Upcycle Park MBSP pada 10 Mac 2018, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai taman upcycle pertama di negara ini.
Bagi memastikan MBSP terus dilihat mara selangkah ke hadapan dalam agenda kelestarian alam sekitar, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan kini berusaha menambah baik Pusat Pendidikan Hijau Tasek Gelugor yang terletak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berharap penambahbaikan pusat tersebut termasuk aktiviti terbaharu iaitu penanaman Cili Kulai Hibrid 461 dapat meningkatkan lagi kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan pengasingan sisa di punca, pengkomposan serta amalan kitar semula demi kelestarian alam sekitar.
“Pusat Pendidikan Hijau Tasek Gelugor ini telah menjadi wadah penting dalam mendidik masyarakat, khususnya generasi muda tentang konsep pertanian moden dan kelestarian alam.
“Pusat ini dibangunkan dengan kaedah pertanian seperti fertigasi, hidroponik serta tanaman kontan, dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” jelasnya pada majlis berkenaan di sini pada 3 September 2025.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin serta beberapa Ahli Majlis PBT berkenaan.
Selain itu, Baderul Amin turut merakamkan penghargaan kepada UPSI atas sumbangan sebanyak RM1,575 yang membolehkan kewujudan tapak penanaman varieti Cili Kulai Hibrid 461 dalam 11 baris sistem fertigasi melibatkan sejumlah 1,144 beg tanaman.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa institusi pendidikan dan komuniti telah mengadakan program di pusat ini, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti melalui Bengkel Pertanian Bandar pada 14 Januari 2025, diikuti Pusat Pemulihan Seri Barinah (25 Februari 2025), Sekolah Kebangsaan Pengkalan Jaya (19 Jun 2025) dan yang terbaharu, SMK Teluk Air Tawar (13 Ogos 2025).
Difahamkan, antara fasiliti menarik di pusat ini adalah mini akuaponik, stesen kompos sisa kebun dan pusat kitar semula pandu lalu, yang disediakan sebagai pendedahan pendidikan komuniti kepada para pengunjung.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI