Selitkan info bahaya denggi dalam tazkirah Ramadhan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERAPIT – Exco Pertanian & IndustriAsas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mengesyorkan supaya info terkini  mengenai risiko wabak denggi turut diselitkan dalam slot tazkirah Ihya’ Ramadhan di masjid serta surau sepanjang sambutan bulan ibadah nanti.

Menurut Afif, inisiatif tersebut wajar memandangkan musim kemarau yang dijangka sepanjang bulan Ramadhan ini adalah berpotensi untuk pembiakan nyamuk aedes di kediaman masing-masing.

“Kalau boleh, dalam tazkirah pada bulan Ramadhan di masjid dan di surau nanti, turut disebut mengenai bahaya denggi kerana risiko nyamuk aedes membiak lebih tinggi pada musim kering,” ujarnya sambil memberitahu bahawa sebanyak tiga kes kematian akibat denggi direkodkan pada tahun ini.

Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya’ Ramadhan Kepada Seluruh Surau Dalam Parlimen Permatang  Pauh di perkarangan Masjid Tengah Jalan Berapit di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap serta menyampaikan sumbangan peribadinya berjumlah RM31,500 kepada 63 surau di sekitar kawasan parlimennya.

Sama berucap, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada majlis yang turut disertai bekas Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.

Anwar dalam ucapannya menegaskan Kerajaan Negeri di bawah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng konsisten memartabatkan Islam di negeri ini sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun di Putrajaya acapkali mengambarkan umat Islam Pulau Pinang kononnya dipinggirkan di bawah Kerajaan Negeri hari ini.

Justeru, beliau berharap, sumbangan Kerajaan Negeri berjumlah RM221,000 kepada semua 212 masjid dapat dimanfaatkan demi mengimarahkan ‘rumah Allah’ sepanjang bulan Ramadhan ini.

“Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan turut dipegang dengan erat oleh saya (sebagai Ketua Umum PKR), Sdr. Lim Guan Eng (Setiausaha Agung) dari DAP dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Presiden) dari PAS.

“Ini, yang kita Pakatan Rakyat terus pertahankan, dan ini yang dilakukan oleh Sdr. Lim Guan Eng (selaku Ketua Menteri Pulau Pinang) seperti sumbangan Ihya’ Ramadhan tiap-tiap tahun sampai sekarang ini,” tegas beliau.

Anwar dalam syarahannya menjelaskan erti ketakwaan yang menjadi maksud hakiki di sebalik puasa, serta hubungan ibadah wajib itu dengan tanggungjawab mengimarahkan masjid atas dasar ketaqwaan juga.