Kerah STF pantau 164 sungai

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan menggerakkan pasukan petugas khas atau Special Task Force (STF) untuk terus memantau 164 lembangan sungai utama dalam usaha menggiatkan penjenamaan semula sungai-sungai di Pulau Pinang.

Perkara tersebut dinyatakan sendiri Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam suatu sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Turut serta, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Kapten (B) Anuar Yahya dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.

Jelas Kon Yeow, pasukan terbabit akan bertindak untuk memantau, merekod dan mengenal pasti punca-punca pencemaran sungai dan pantai
dalam usaha menangani masalah pencemaran, khususnya lapan sungai yang dikenal pasti mencatat tahap pencemaran kritikal.

Sungai-sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Pinang, Sungai Batu Feringghi, Sungai Mas, Sungai Satu dan Sungai Kechil yang terletak dalam Daerah Timur Laut. Tiga sungai lain ialah Sungai Kereh di Seberang Perai Utara, Sungai Pertama di Seberang Perai Tengah dan Sungai Jawi di Seberang Perai Selatan.

“Pemantauan awal mendapati penurunan kualiti air sangat ketara dan ini berpunca daripada pencemaran seperti pelepasan air buangan dari loji rawatan kumbahan (syarikat atau persendirian), aktiviti penternakan, aktiviti pertanian, kelodak akibat aktiviti tanah, pelepasan larut resap dari tapak pelupusan sisa pepejal dan pembuangan sampah dalam saliran air,” jelasnya.

Antara lain, tambah Kon Yeow, bengkel-bengkel, gerai makanan atau premis perniagaan yang tidak berlesen di tepi sungai atau pantai turut menjadi penyumbang kepada pencemaran tersebut ke paras lebih kritikal.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) dengan kerjasama JPS telah mengarahkan satu pasukan petugas khas mengumpul data-data inventori pencemaran melibatkan jarak pemantauan 50 meter dari tebing sisi sungai,” tegasnya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menggunakan aplikasi teknologi Infinitesimal Quantum Persistent Reflection (iQPR) dalam projek perintis pemuliharaan Sungai Pinang.

Hasilnya, kualiti air sungai tersebut dapat ditingkatkan dari Kelas IV (kotor) ke Kelas II (bersih) dalam tempoh tiga tahun penggunaannya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut mengumumkan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang dalam mengatasi masalah pencemaran sungai di Pulau Pinang.

“Cadangan tindakan penyelesaian jangka pendek ini melibatkan tempoh tindakan serta-merta sehingga satu tahun seperti penguatkuasaan dan pemasangan perangkap makanan, minyak dan gris oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Manakala bagi cadangan tindakan penyelesaian jangka panjang pula melibatkan tempoh dari satu tahun ke tiga tahun seperti penempatan semula mengikut zon dan perobohan, program pemutihan dan menaiktaraf loji rawatan sisa kumbahan terutama di kawasan tumpuan pelancong,” ujarnya.

Kon Yeow dalam pada itu berharap, melalui pelan tindakan tersebut, tahap pencemaran dapat dikurangkan dan kualiti air dapat ditingkatkan dari Kelas IV dan Kelas V ke Kelas III atau Kelas II.

Sebagai rujukan, kelas kualiti air Kelas I adalah yang terbaik manakala Kelas V adalah yang terburuk. Kelas kualiti air berkenaan ditentukan berdasarkan kepada Indeks Kualiti Air (WQI) sama ada bersih, sedikit tercemar atau tercemar.