Serambi : Apakah perlu kita bergantung kepada jururunding asing?

 

Oleh: ZAIRIL KHIR JOHARI

EKORAN daripada pendedahan bulan lalu bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membayar RM20 juta kepada Mc Kinsey & Co untuk perkhidmatan jururunding dalam merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025, rakyat digegar dengan berita bahawa bayaran kepada McKinsey itu hanya sebahagian kecial daripada keseluruhan kisah sebenar.

Menurut jawapan Parlimen yang saya terima daripada Menteri Pendidikan, Kementerian telah melantik tiga jururunding luar iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dalam program tiga tahun yang bertujuan untuk “meningkatkan kapasiti” guru bahasa Inggeris di negara ini.

Ketiga-tiga firma perunding telah dianugerahkan kontrak mulai tahun 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma terbabit akan menyediakan 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris (120 mentor setiap firma) sepanjang tempoh tiga tahun.

Jawapan parlimen menyatakan selanjutnya bahawa sejumlah 7,500 guru dari 1,800 sekolah akan dilatih, dengan tanggungjawab dibahagikan mengikut geografi. British Council telah ditugaskan untuk menyediakan mentor untuk melatih guru-guru di Labuan, Sabah dan Sarawak, manakala Brighton Education Group akan melatih guru-guru di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, SMR HR Group akan melatih guru-guru di Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah dan Selangor.

Dalam erti kata lain, hamper RM270 juta dibelanjakan untuk mengupah 360 mentor Inggeris ini. Kos ini memecahkan kepada RM250,000 setahun bagi setiap mentor, atau berjumlah hamper RM21,000 sebulan.

Jumlah perbelanjaan  sebanyak RM270 juta untuk melatih 7,500 guru adalah bersamaan dengan RM36,000 bagi setiap guru dalam tempoh tiga tahun. Jumlah ini adalah lebih daripada kos untuk mendaftar guru yang sama ke program ijazah dalam bahasa Inggeris dengan struktur pembelajaran yang tersusun di sebuah universiti tempatan.

Sebagai contoh, Universiti Terbuka Wawasan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Bahasa Inggeris dengan kos kira-kira RM24,000, iaitu dua pertiga kos program mentor yang disediakan oleh firma perundingan ini. Sementara itu, kos kursus diploma selama enam bulan dalam TESOL (Teaching English to Speakers of Other Languages) hanya RM4,500 di kolej swasta tempatan.

Di samping kos yang mengejutkan ini, saya ingin mempersoalkan keberkesanan program ini dan kualiti mentor yang diambil berkhidmat.

Hanya perlukan tiga tahun pengalaman untuk menjadi pakar?

Menurut laman web pengambilan pekerja British, JustJobs.co.uk, Nord Anglia Education, sebuah syarikat yang bekerjasama dengan Brighton Education Group, salah satu daripada firma perundingan yang diupah oleh KPM, telah mengiklankan pengambilan mentor untuk program ini.

Iklan tersebut menyatakan bahawa “Nord Anglia Education dengan kerjasama Brighton Education Group sedang mencari English Language Teaching Consultants (ELTC) untuk meningkatkan bahasa Inggeris dan literasi mengajar bagi sebilangan sekolah rendah milik kerajaan Malaysia.”

Iklan ini seterusnya menjelaskan bahawa “Calon ELTC yang berminat perlu fasih bertutur bahasa Inggeris dan mempunyai sekurang- kurangnya tiga tahun pengalaman mengajar di sekolah rendah atau tadika. Kelayakan tambahan ESOL dan pengalaman antarabangsa merupakan satu kelebihan.”

Bagi faedah pekerjaan, iklan itu menggambarkannya sebagai “pakej ekspatriat terbaik termasuk penginapan / pengangkutan / penerbangan tahunan,” di mana “pemohon yang berjaya akan menikmati … pakej antarabangsa yang mewah, berdasarkan kelayakan dan pengalaman ….”

Pakej pekerjaan “terbaik” dan “mewah” yang dihuraikan di atas sudah pasti konsisten dengan perjanjian mewah RM270 juta antara KPM dan tiga perunding terbabit, tetapi apakah perjanjian ini benar- benar berbaloi apabila “pakar” Bahasa Inggeris yang direkrut hanya memerlukan sekurang- kurangnya tiga tahun pengalaman mengajar.

Perbandingan dengan Jepun

Kedua, Kementerian Pendidikan juga perlu  menjelaskan keperluan untuk mengupah firma perundingan yang mahal apabila Jepun dapat melaksanakan program pengajaran Bahasa Inggeris yang Berjaya sejak tahun 1978 tanpa menggunakan perunding luar.

Kini program terbesar seumpamanya di dunia, Japan Exchange and Teaching (JET) berjaya menarik graduan universiti berbahasa Inggeris dari seluruh dunia untuk bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah Jepun.

Berbeza dengan versi Malaysia, kerajaan Jepun tidak menyerahkan program kepada juruunding luar, tetapi sebaliknya dilaksanakan dengan kerjasama antara Kementerian Hal Ehwal Dalaman dan Komunikasi, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi, dengan sokongan Bahagian Hubungan Antarabangsa.

Kerajaan Tempatan. Pemohon yang berminat dikehendaki memohon secara langsung melalui kedutaan Jepun di negara masing-masing atau konsulat di seluruh dunia.

Sementara itu, semua maklumat yang berkaitan boleh didapati secara umum dalam talian.

Sebagai contoh, gaji permulaan bagi guru-guru Bahasa Inggeris adalah Yen 275,000 atau kira- kira USD2,800 sebulan, jumlah yang sederhana memandangkan Jepun adalah salah satu Negara yang paling mahal untuk didiami.

Apakah hasilnya dan adakah program ini akan diteruskan?

Memandangkan jumlah wang awam yang dibelanjakan semata-mata untuk program ini jauh daripada munasabah, KPM mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan hasil program ini setakat ini. Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apakah ada peningkatan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah sejak program mentor bermula pada tahun 2011.

Maklumat ini penting memandangkan saya sendiri telah menerima maklum balas daripada guru-guru yang terlibat dalam program ini menunjukkan bahawa mereka tidak mendapat banyak manfaat kerana latihan minimum yang diterima. Dalam kebanyakan kes, mereka hanya “dibimbing” selama tiga hingga empat jam sebulan.

Akhirnya, KPM perlu mengisytiharkan sama ada Kerajaan mempunyai apa-apa niat untuk melanjutkan program selepas selesai tahun ini. Dan jika tidak, adakah mereka bersedia bertanggungjawab terhadap kemungkinan RM270 juta dana awam yang telah dibazirkan?

Meskipun matlamat untuk meningkatkan kualiti guru-guru bahasa Inggeris adalah terpuji dan perlu diteruskan, namun ini sama sekali tidak membenarkan tindakan KPM yang sewenang- wenangnya melantik jururunding yang tidak sepadan dengan harganya, terutama apabila pilihan yang lebih murah dan lebih baik telah sedia ada.