PWDC anjur ARC Februari depan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI


GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan United Nation Women bakal menganjurkan persidangan Asian Regional Conference (ARC) pada 24 dan 25 Februari depan.

Pengarah Projek, Aloyah Abu Bakar dalam suatu sidang media di Komtar baru-baru ini menerangkan bahawa penganjuran persidangan
tersebut akan melibatkan penglibatan di peringkat antarabangsa terutama golongan wanita yang mendokong projek perintis Bajet Responsif Gender (BRG).

“Persidangan ini adalah yang julung kalinya dianjurkan oleh PWDC dengan melibatkan jentera Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bertemakan Gender Responsive Budgeting Narratives: Transforming Institutions, Empowering Communities, persidangan ini akan
dijalankan selama dua hari di Hotel Bayview George Town, Februari depan,” jelasnya di sini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Exco Belia & Sukan, Pembangunan
Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng, Yang di- Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif dan perintis Penita, Dr. Cecilia Ng Choon Sim.

Selain berkongsi pengalaman dan ilmu berkaitan BRG, persidangan terbabit juga bakal menjadi medan terbaik untuk meneliti semula praktikaliti pelaksanaan BRG dalam polisi fiskal dan kesertaan dalam bajet. Malah, ia juga mampu menjelaskan peranan dimainkan stakeholder dan jentera yang terlibat dalam pelaksanaan Projek Perintis BRG.

BRG adalah suatu pendekatan dalam menyediakan dasar dan bajet yang mengambil kira keperluan berbeza oleh kelompok masyarakat
berlainan dengan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan komuniti.

Penyertaan adalah terhad kepada 150 orang terawal sahaja. Untuk penyertaan dan maklumat lanjut, layari laman sesawang “http://www.grbpwdc.org.my/”www.grb-pwdc.org.my atau hubungi talian PWDC di 04 – 261 2835 atau 04 – 261 5261.