Serambi PI : Demokrasi Perwakilan, Mat Rempit dan Kerajaan Tempatan

Oleh: HARIS ZUAN

PENGALAMAN saya berada dalam badan penggubalan undang-undang – meskipun hanya di peringkat kerajaan tempatan – membuatkan saya semakin mengimani doktrin bahawa dalam demokrasi perwakilan (representative democracy) semua segmen masyarakat, termasuk golongan minoriti mesti punya perwakilan dan wakil yang dipilih (atau dilantik) yang benar-benar memainkan peranannya untuk memperjuang dan mempertahankan kepentingan golongan yang mereka wakili. Jika tidak, kepentingan mereka ini akan terabai dan akan terdapat banyak dasar yang digubal akan menjejaskan golongan ini.

Malangnya, di Malaysia representasi atau perwakilan ini sering terhad kepada kaum semata-mata. Kita hanya peduli berapa ramai Melayu atau Cina dalam pembuatan dasar dan selalu pula representasi kaum ini dikelirukan pula dengan representasi mengikut parti. Sehingga wujud kesimpulan sesat bahawa hanya UMNO yang mewakili kaum Melayu – meskipun faktanya, selama ini sejak kemenangan besar Pakatan Rakyat pada 2008 bilangan perwakilan Melayu meningkat dalam Parlimen.

Dicelah-celah laungan kaum ini, mula kedengaran pula keperluan untuk memastikan adanya perwakilan mengikut gender – ertinya jumlah perwakilan lelaki dan perempuan dalam Parlimen harus mencerminkan nisbah lelaki dan perempuan di negara ini. Pada tahun 1995, Malaysia telah menandatangi Convention On The Elimination Of All Forms Of Discrimination Against Women (CEDAW) dan komited untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam proses membuat keputusan sekurang-kurangnya kepada 30%. Namun, nisbah ini hampir mustahil tercapai berdasarkan situasi semasa – sekitar 10 hingga 12% sahaja perwakilan wanita di Parlimen. Kini, banyak NGO yang memperjuangkan hak wanita menuntut agar lebih banyak amalan yang mengehadkan penglibatan wanita dalam politik ditiadakan dan lebih banyak amalan yang mempromosikan penglibatan wanita diwujudkan. Dalam tempoh 20 tahun ini, kita dapat lihat banyak perkembangan baik terhadap isu ini. Meskipun ramai melihat perkembangan ini amat perlahan.

Demokrasi berjalan dengan premis asasnya bahawa sistem ini tidak sempurna dan sentiasa akan berlaku penambahbaikan. Demikan juga dalam persoalan perwakilan ini. Kini kita tidak hanya melihat perwakilan daripada segi kaum dan gender, malahn juga generasi. Jumlah penduduk Malaysia pada 2010 ialah seramai 27,484,596 orang dengan 12,526,567 orang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Manakala di Pulau Pinang pula, daripada 1,526,324 orang penduduk, 690,283 orang adalah mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Meskipun kita boleh mengatakan bahawa takrif umur anak muda di negara jauh konservatif berbanding negara lain di dunia (PBB, 15 hingga 24 tahun), namun berdasarkan takrif rasmi Malaysia, hampir separuh penduduk Malaysia ini terdiri daripada orang muda. Namun, sebagaimana kita tahu, amat kurang para pembuat keputusan kita terdiri daripada mereka yang berumur kurang 40 tahun, walaupun angka ini kian meningkat.

Jika had umur anak muda ini diturunkan kepada 35 atau 30 tahun (masih jauh konservatif dari takrifan umur antarabangsa), jumlah pembuat keputusan baik di Parlimen, negeri, mahupun kerajaan tempatan amatlah mendukacitakan. Sungguhpun kita boleh berdebat bahawa dalam demokrasi tidak semestinya hanya wanita dapat membawa agenda wanita, anak muda membawa agenda anak muda, dan perwakilan Cina membawa kepentingan Cina serta wakil rakyat Melayu sahaja mampu mewakili orang Melayu. Namun, mahu atau tidak, harus kita insafi bahawa dalam sistem demokrasi ala Malaysia ini yang amat rendah tahap deliberatifnya, kemerosotan perwakilan ini sangat menjejaskan semangat demokrasi.

Izinkan saya berkongsi akan satu pengalaman saya dalam satu mesyuarat yang saya hadiri, terdapat cadangan mewujudkan halangan jalan raya yang lebih bahaya untuk motosikal agar penunggang motosikal akan lebih berhati-hati dan jika mereka kemalangan akibat halangan tersebut, maka moga-moga kejadian itu akan menginsafkan mereka.

Saya pastinya agak cemas apabila mendengar cadangan ini dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan tempatan untuk dipertimbangkan atas dua alasan. Pertamanya, pendekatan ini tidak menangani punca sebenar masalah dan seolaholah menzalimi semua penunggang motosikal dengan menghalang mereka menunggang dalam persekitaran yang selesa. Keduanya, saya juga seorang penunggang motosikal!

Sudahlah kami sentiasa terdedah dengan bahaya berdepan dengan kenderaan empat roda yang tidak kurang laju dan bengisnya di jalan raya, malah kami dihukum lagi dengan ‘jerangkap’ jalan raya akibat tidak mampu untuk membeli sebuah kereta.

Malah, saya juga khuatir perasaan simpati terhadap penunggang motosikal seperti kami semakin menipis dalam kalangan pemandu kereta (dan pemilik kereta yang mempunyai pemandu peribadi) dengan membuat reduksi semua penunggang motosikal itu adalah mat rempit.

Sejujurnya saya memahami keprihatinan beliau yang semakin bimbang dengan gelagat penunggang motosikal di Pulau Pinang – dan pastinya situasi ini bukan unik di Pulau Pinang sahaja – khasnya dalam kalangan anak muda, termasuk pelajar sekolah.Saya tidak menyalahkan ahli mesyuarat yang mencadangkan idea ini, malah saya merasakan bahawa adalah menjadi tangungjawab saya untuk membantah cadangan yang akan memberi kesan kepada kebanyakkan anak muda ini. Keprihatinan saya ini sudah tentunya kerana saya merupakan seorang anak muda yang merasai pengalaman sebagai penunggang motosikal.

Menjadikan jalan raya lebih bahaya untuk penunggang motosikal tidak akan menjadikan mereka lebih sopan-santun dan berbudi bahasa di atas jalan raya. Malah, untuk berlaku adil, kebanyakkan pemandu di negara ini tidak kira apa jenis kenderaan sekali pun, tiada yang dikenali sebagai golongan yang berhemah tinggi di jalan raya.

Benar, kebanyakkan anak muda, khasnya yang masih bersekolah sering menunggang secara melulu. Kebanyakkan mereka ini dibelikan motosikal awal oleh ibu bapa, seawal mereka berumur 16 tahun. Pastinya alasan yang diberikan adalah untuk memudahkan berulangalik dari sekolah ke kelas tusyen, dan aktiviti sukan. Masalahnya, apabila sudah punya kenderaan sendiri, maka mereka ini bukan hanya ke sekolah, mula merayau dan lebih malang lagi, mula bergaul dengan kaki rempit.

Soalnya kenapa mereka ini diberikan motosikal? Jawapannya sangat mudah, kerana ibu bapa tidak punya masa untuk mengantar dan menjemput anak-anak mereka. Adakah ini
salah ibu bapa? Tidak juga.

Kebanyakan punca masalah ini ada hubungannya dengan pengangkutan awam. Jika pengangkutan awam di negara ini baik, pasti anak-anak ini tidak punya alasan untuk diberikan motosikal seorang sebuah terlalu awal. Malah, ibu bapa akan dapat menjimatkan masa di jalan raya yang sebelum ini dihabiskan mengharungi kesesakan lalu lintas.

Tidak keterlaluan juga jika kita membayangkan dengan pengangkutan awam yang baik, tiap keluarga di negara ini tidak diwajibkan untuk berhutang membeli kenderaan peribadi dan mengisi petrol tiap bulan – pastinya wang ini dapat digunakan bersama anak-anak.

Apa yang ingin saya sampaikan – kebanyakan isu yang sering dikategorikan sebagai ‘masalah sosial’ sering terjun kepada kesimpulan yang mudah – tingkatkan hukuman terhadap pelaku, iaitu anak muda. Sikap ini sering berlaku di semua peringkat – sejak kita dilatih menulis karangan berkenaan gejala sosial semasa dalam darjah 6 hinggalah kepada pembuatan dasar. Maka banyaklah dasar yang sebenarnya menjadikan anak muda mangsa seperti pemusatan kuasa dalam pengangkutan awam dan akhirnya anak muda juga yang dihukum kerana dosa orang tua sebelumnya. Bukankah seharusnya yang diperjuangkan adalah desentralisasi pengangkutan awam, sebagaimana pada waktu sebelum ini, semasa pengangkutan awam diuruskan sendiri oleh kerajaan tempatan?

Orang muda kian sedar bahawa banyak keputusan dasar yang dibuat dalam negara ini, tidak kita di peringkat mana pun, mempunyai banyak kesan langsung terhadap kehidupan mereka. Malah, seringkali juga keputusan yang diambil gagal mengambil kira pandangan orang muda. Justeru, saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang meningkatkan perwakilan orang muda dalam kerajaan tempatan dan semoga cita-cita kita untuk mengembalikan demokrasi tempatan akan tercapai