Laporan siasatan pencemaran Sg. Batu Feringghi siap

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU FERINGGHI – Hasil siasatan laporan terkini Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 28 Februari lalu telah mengenalpasti bahawa punca berlakunya pencemaran air di Sungai Batu Feringghi di sini salah satunya adalah daripada loji Indah Water Konsortium (IWK).

Selain itu, beberapa premis turut dikenalpasti sebagai punca kejadian, iaitu, tiga premis makanan, kedai dobi (3) dan kedai mencuci kereta di kawasan berhampiran.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada sidang media di sini baru-baru ini.

Katanya, perkara tersebut dijelaskan berdasarkan siasatan laporan terkini JAS.

“JAS telahpun menyiapkan kertas siasatan berhubung masalah pencemaran di Sungai Batu Feringghi.

“Kertas siasatan ini adalah dibuat berdasarkan Peraturanperaturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan ia (laporan) telah diserahkan kepada Pegawai Undang-undang JAS Persekutuan untuk tindakan lanjut pihak terbabit,’’ tegasnya di sini.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye dan Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Khuzai Hussain.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut meminta agensi-agensi berkaitan supaya turut mengambil tindakan wajar berhubung masalah tersebut kerana ia adalah di luar bidang kuasa JAS.