Serambi PI : MERDEKA JIWA : Prinsip Hassan al-Banna

Admin

DALAM selang masa beberapa hari lagi, Malaysia sekali lagi akan merayakan dua perayaan yang membawa erti yang besar kepada seluruh rakyatnya. Ini merujuk kepada sambutan memperingati kemerdekaan dan hari pembentukan Malaysia. Kemeriahan dua sambutan besar ini juga sering ditandai dengan acara mengibarkan bendera, program ambang merdeka, perbarisan dan sebagainya. Namun, apakah ‘ritual’ tahunan ini mampu memupuk rakyat yang bukan hanya merdeka, bahkan lebih penting memiliki jiwa merdeka? Suka penulis mengaitkan konsep kemerdekaan yang hakiki ini dengan ketokohan seorang pemuda yang pernah mencetuskan revolusi dalam erti membebaskan manusia dari penjajahan minda kepada kemerdekaan jiwa yang sebenarnya. Kebetulan, menjelang seminggu sebelum Ramadhan yang lalu, Penang Institute telah berjaya mengambil kesempatan untuk membawa legasi tokoh tersebut ke Pulau Pinang dalam rangka membincangkan erti “Islam, Demokrasi dan Hak Asasi Manusia: Kebangkitan Dunia Islam”, yang disampaikan oleh cucu beliau, iaitu Profesor Tariq Ramadan. Liputan tentang isi diskusi tersebut sudah pun mendapat perhatian meluas umum media dan masyarakat. Oleh itu, wajar kali ini penulis membicarakan tentang tokoh hebat serta legasi hebat peninggalannya. Beliau yang dimaksudkan itu ialah Asy-Syahid Shaikh Imam Hassan al-Banna.

Mengenali Hassan al-Banna

Dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiya, Iskandariah, Mesir, beliau dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang sangat dihormati dan kuat pegangan Islam. Ayahnya, Syeikh Ahmad Ibn Abdul Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang kitab-kitab hadis dan fiqh. Apabila semakin meningkat dewasa, ketokohan dan keilmuan yang diwarisi daripada ayahnya kian terserlah. Beliau telah menghafaz al-Quran ketika usia masih muda dan disebabkan kebijaksanaannya juga beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah ketika baru berusia 16 tahun. Ketika berumur 23 tahun, beliau menubuhkan Ikhwanul Muslimin yang sangat-sangat berpengaruh waktu itu.

Kerajaan Mesir yang mula sedar tentang ancaman gerakan ni, telah bertindak untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin atas tuduhan merancang pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Mereka juga telah mengarahkan supaya kesemua 3000 cawangan gerakan massa ini dibubarkan. Kemuncak kepada ketakutan kerajaan Mesir pada ketika itu adalah pada tanggal 12 Febrari 1949. Ketika hendak menaiki teksi, dua orang yang tidak dikenali telah melepaskan tembakan pistol tepat kepada Hassan al- Banna. Takdir Ilahi, pada pukul 12.50 malam, Hassan al-Banna menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat tumpahan darah yg serius.

USRAH: Legasi Hassan al-Banna

Walaupun Hassan al-Banna telah lama meninggalkan kita, legasinya tetap ada. Jasanya dalam merevolusi system pendidikan dan mengajak manusia ke arah kebaikan akan tetap diteruskan. Legasi tersebut adalah usrah, iaitu sebuah unit paling mikro dalam system diskusi ilmu-ilmu Islam dan isu kontemporari. Apa kaitan usrah dengan merdeka? Keterkaitan utamanya adalah misi pembebasan manusia dari kejahilan dan kegelapan. Bukan sekadar merdeka dari jajahan militari, namun merdeka juga dari jajahan dan kongkongan minda yang terus membodohkan manusia. Usrah dari bahasa arabnya membawa maksud ‘keluarga’ dan dari teknikalnya adalah sebuah siri diskusi yang biasanya dimulakan dengan aspek kerohanian dan di hujungnya ditutup dengan muhasabah akan masa depan Islam dan dunia secara amnya. Menghayati usrah dalam erti kata sebenar, terselit 5 prinsip asas yang disemai oleh Hassan al-Banna yang praktikal untuk mencetuskan kebangkitan jiwa dan kemerdekaan jiwa yang tiada tanding.

MUROQABAH :: Menghayati

Amalan Kerohanian Menerusi Muroqabah, usrah seharusnya dimulakan dengan merapatkan diri kepada ALLAH S.W.T. Usrah yang dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah adalah yang terbaik, kerana dengannya terbukti, hati-hati ahli usrah akan terikat. Kajian saintifik juga telah membuktikan solat berjamaah mampu memusatkan pemikiran, tenaga dan kasih sayang setiap ahli usrah, sehinggakan kesemua rasa susah, senang di kalangan ahli usrah akan dikongsi bersama. Solat jamaah juga boleh bertindak sebagai ‘zon ketenangan’ atau zon untuk para berjuang kembali berkumpul, berkongsi kekuatan dan semangat daripada asakan dunia dan musuh yang tak henti-henti kunjung tiba.

MUNAQASHAH :: Menghayati

Budaya Ilmu Usrah yang sudah dimulakan dengan Muroqabah, wajar disambut dengan Munaqashah, iaitu agenda ‘mencanai’ ilmu dan bukannya ‘mempelajari’ ilmu. Tidak sekadar dihadkan kepada tafsiran ayat-ayat yang tipikal, pembacaan hadith dengan gaya klasik, roh ilmu di dalam usrah juga perlu ‘dihadirkan’ dengan cara dan penyampaian ilmu yang baru dan menarik. Isinya masih sama seperti perbincangan Tafsir, Hadith, Sirah, Tasawwuf, Tauhid dan sebagainya, cuma cara ia disampaikan menarik, penuh komitmen, bertenaga dan yang terpenting ada kaitan dengan reality kontemporari.

MUSYAWWARAH :: Menghayati

Amalan Shura sempurna agenda keilmuan di dalam usrah, ia tidak boleh tidak, perlu dimasukkan dengan budaya menghayati amalan syura (perbincangan). Di sinilah terletaknya medan interaktif terbaik antara setiap ahli usrah. Sifat majlis syura yang sebenar yang lebih menjurus kepada perbincangan aras tinggi mengenai isu-isu ‘vital’ umat, juga boleh dibudayakan di dalam usrah. Benar, ada mesyuarat biasa yang boleh membincangkan pelbagai program, namun lain dengan usrah, ia adalah landasan ‘pencetus’ atau ‘the ignition platform’ kepada setiap program besar yang bermanfaat umtuk komuniti.

MUHASABAH :: Memahami dan Melibatkan Diri pada Isu Semasa

Muhasabah adalah persiapan terpenting yang perlu ada pada setiap ahli usrah sebelum beraksi di medan aktivisme, kerana dengannya kita akan tahu, sedar dan sedia terhadap mana-mana realiti di luar sana. Slot perkongsian isu-isu semasa yang terkini tidak wajar hanya berlegar-legar dalam isu kelompok, laman sesawang, blog-blog, e-mel dan surat khabar arus perdana semata – mata . Lebih dari itu, usrah perlu jadi ‘one-stop shop ’ untuk menjadi ruang perkongsian ‘berita yang punya nilai’ untuk kita. Setiap berita yang dikongsikan juga perlu disaring agar memberi agenda bertindak dan bukan hanya agenda untuk sekadar tahu. Ini akan menjadikan setiap ahli usrah ‘alert & well prepared’ , sebelum menyampaikan saran-saran positif kepada masyarakat.

MUJAHADAH :: Menghayati Ruhul

Jihad Fisabilillah

Faham jihad yang dilatari dengan mesej bersungguh-sungguh untuk agama, wajar diarus-perdanakan dalam setiap tindak-tanduk kita. Jiwa bersungguh-sungguh berkorban pada agama dan negara ini juga sebenarnya yang mahu kita tanam di dalam setiap penghujung usrah atau mana-mana sesi diskusi ilmu. Peranan naqib dalam memberi kata-kata semangat dan titipan kepritahinan pada waktu penutup setiap usrah inilah, yang seringkali dilihat menjadi ‘decisive factor’ atau faktor penentu yang bakal menegapkan komitmen dan keazaman setiap ahli usrah untuk hadir ke usrah seterusnya.

Penutup

Justeru, jika kita mahu generasi kini dan akan datang terus berada dekat dengan hati umat, tiada kompromi lagi, budaya usrah legasi peninggalan Hassan al- Banna perlu diserap ke dalam masyarakat agar usrah bukan sahaja jadi majlis ilmu dan ukhuwwah sematamata, tapi usrah adalah sesuatu perkumpulan manusia yang komited dalam agenda mengangkat martabat ummah! Akhir sekali, 5 prinsip inilah sebenarnya asas dalam melahirkan generasi yang benar-benar merdeka jiwanya, dalam membebaskan bangsa dan negaranya dari terus dijajah oleh kejahilan dan kemunduran. Merdeka diri, merdekalah Negara!

SYED MIKAEL RIZAL AIDID

Eksekutif Komunikasi & Program Penang Institute