Keluarga mendiang Loga ‘Alleycats’ terima sumbangan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan bencana bernilai RM5,000 kepada keluarga penyanyi kumpulan popular Alleycats, mendiang Datuk A. Loganathan atau lebih dikenali sebagai Loga rentetan kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran di sini baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kepada anak lelaki mendiang, Vignesh Waran, 29 di pejabat beliau di sini.

Vignesh yang ditemani adik perempuannya, Darsha Logan, 24 berkata bahawa sumbangan tersebut amat bermakna buatnya sekeluarga memandangkan mereka terpaksa membina semula kehidupan selepas bencana berkenaan.

“Permulaan yang baru buat kami sekeluarga, permulaan yang pastinya lain dari sebelumnya.

“Terima kasih atas sumbangan yang disampaikan, ia sedikit sebanyak meringankan bebanan kami sekeluarga,” ujar Vignesh ringkas pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.

Isteri mendiang, Datin Susan Lovie bagaimanapun tidak dapat hadir ke majlis penyerahan tersebut atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dalam kejadian baru-baru ini di Jalan Azyze, Tanjong Bungah, tingkat atas rumah dua tingkat milik mendiang Loga musnah dalam kejadian kebakaran yang turut menempatkan pelbagai koleksi peribadi beliau ketika giat di arena muzik.

Turut musnah, perabot, peralatan rumah, koleksi piring hitam dan pelbagai barangan berharga termasuk wang tunai dan barang kemas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman; Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy dan Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

KETUA Menteri menyampaikan sumbangan bencana kepada Vignesh Waran (kiri sekali) sambil diperhatikan Dr. P. Ramasamy (dua dari kiri), Phee Boon Poh (dua dari kanan) dan Mansor Othman (kanan sekali) pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri menyampaikan sumbangan bencana kepada Vignesh Waran (kiri sekali) sambil diperhatikan Dr. P. Ramasamy (dua dari kiri), Phee Boon Poh (dua dari kanan) dan Mansor Othman (kanan sekali) pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.