Serambi PI: Ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan Tinggi

Oleh : ZAIRIL KHIR JOHARI Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Pengarah Eksekutif Penang Institiute

Tuan pengerusi,

AKTA Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diperkenalkan pada tahun 1997 bagi menyokong permintaan mendadak untuk pengajian tinggi, terutamanya dalam sektor institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Dengan ketersediaan pinjaman PTPTN, maka pendaftaran universiti pun telah berganda daripada 58,286 pada tahun 1990 kepada beratus-ratus ribu pada hari ini..

Walaupun PTPTN telah memudahkan akses kepada pengajian tinggi dan membolehkan ratusan ribu anak muda melanjutkan pengajian mereka, namun ia dibelenggui dua masalah besar, iaitu kadar bayaran balik pinjaman PTPTN yang rendah, serta percambahan IPTS yang tidak berkualiti dan gagal memberi penuntutnya pendidikan dan kemahiran yang diperlukan oleh pasaran kerja.

Kadar bayaran balik yang rendah

Tuan pengerusi,

Berdasarkan jawapan Parlimen yang saya terima, sehingga 30 September 2015, jumlah keseluruhan bayaran balik PTPTN yang diterima adalah sebanyak RM6.71 bilion (45.8%) berbanding bayaran balik sebenar yang perlu diterima, iaitu RM14.65 bilion. Daripada 1,792,919 peminjam, hanya 1,185,077 orang telah membuat bayaran balik. Ini bermaksud seramai 607,842 peminjam masih gagal membuat bayaran balik, lantas mengakibatkan tunggakan berjumlah RM4.97 bilion.

Masalah kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN yang rendah ini sebenarnya tidak menghairankan. Ini disebabkan beberapa faktor. Pertama, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat sikap mengambil ringan pinjaman daripada Kerajaan. Saya yakin, jika orang mengambil pinjaman daripada bank, mereka tidak akan menzahirkan sikap yang sama.

Kedua, sememangnya terdapat ramai graduan yang tidak mampu membayar balik. Hakikatnya, iklim ekonomi negara kita masih belum kembali kepada zaman pra-1997. Kegagalan negara untuk mencapai KDNK sekurang-kurangnya tujuh peratus setahun sebagaimana yang dicatat pada awal tahun 1990-an telah memberi kesan terhadap pasaran kerja dan guna tenaga negara.

Kini, Malaysia berdepan dengan masalah pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) yang agak menggusarkan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Dato’ Sri Abdul Wahid Omar) pada bulan Mei yang lalu, daripada 400,000 orang penganggur di negara ini, 161,000 daripadanya merupakan siswazah.

Saya tahu Kementerian sudah pun mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman PTPTN, antaranya mempelbagaikan saluran bayaran balik, mengeluarkan surat arahan bayaran balik, mengambil tindakan undang-undang termasuk saman, mewajibkan potongan gaji ke atas kakitangan awam, menahan peminjam ingkar daripada keluar negara dan menyenarai nama mereka dalam CCRIS.

Langkah-langkah ini adalah baik, namun saya ingin mencadangkan beberapa lagi pembaharuan yang dapat bukan sahaja meningkatkan kadar pembayaran balik tetapi juga meringankan beban peminjam dan memperbaiki kualiti pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) kita.

Pembayaran balik berdasarkan pendapatan

Tuan pengerusi

Ketika ini, PTPTN menggunakan kaedah pinjaman perumahan (mortgagetype loan), di mana kadar faedah, tempoh pembayaran, dan kadar bayaran bulanan adalah tetap. Skim ini menjadi beban yang besar kepada graduan. Misalnya, jika seseorang graduan itu bergaji RM2,000 sebulan, kadar bayaran bulanan sebanyak RM200 pun sudah mencecah 10 peratus daripada pendapatan, dan ini belum mengambil kira komitmen lain seperti KWSP, sewa, hutang kenderaan, bil telefon dan sebagainya. Saya percaya ini adalah antara punca utama mengapa kadar pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah begitu rendah. Dalam erti kata lain, kegagalan bayaran balik pinjaman yang beleluasa dalam kalangan graduan bukan semata-mata berpunca daripada sikap culas mereka, tetapi daripada hakikat bahawa mereka tidak mampu membayarnya.

Maka, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian untuk mempertimbangkan kaedah pembayaran balik berdasarkan pendapatan (incomecontingent repayment), di mana kadar bayaran balik bergantung kepada pendapatan peminjam. Ini bermaksud lagi tinggi gaji seseorang graduan itu, lagi banyak kadar bayarannya, dan sebaliknya.

Selain mengurangkan beban pembayaran balik, pendekatan ini juga akan mengurangkan tempoh bayaran balik sejajar dengan peningkatan pendapatan graduan. Sistem ini adalah jauh lebih progresif kerana setiap graduan memulakan kerjaya dengan bidang, jawatan dan tangga gaji yang berbeza.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mencadangkan agar garis pendapatan minima bagi bayaran balik diperkenalkan. Sebagai contoh, di Australia, hanya graduan yang telah mencapai pendapatan AUD54,126 setahun diwajibkan memulakan bayaran balik pinjaman pendidikan mereka. Ini adalah untuk mengelak daripada beban kewangan yang terlalu besar bagi graduan yang bergaji kecil. Di Malaysia, mungkin garis pendapatan minima boleh ditetapkan pada kadar RM3,500 sebulan atau RM42,000 setahun.

Akhir sekali, PTPTN juga harus dihubungkan kepada sistem KWSP atau LHDN agar kadar bayaran balik boleh diselaraskan kepada gaji. Pada masa yang sama, pemotongan dari sumber (deduction from source) juga boleh dilaksanakan.

Percambahan IPTS yang tidak berkualiti

Tuan pengerusi,

Oleh kerana PTPTN mempunyai syarat pinjaman yang boleh dikatakan longgar untuk pemohon IPTS, maka tidak mengejutkan apabila golongan kapitalis mengambil kesempatan ke atas hakikat ini. Justeru, kita telah melihat percambahan IPTS yang meragukan dari segi kualiti dan ditubuhkan sematamata untuk mengutip wang PTPTN yang senang diperolehi. Tidak hairanlah apabila kita melihat banyak IPTS berlumba-lumba untuk mendapatkan pelajar dengan syarat kemasukan yang sangat minimum – lulus SPM dengan 1 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus sijil dan lulus SPM dengan 3 kredit atau kelayakan yang setaraf dengannya untuk kursus diploma.

Hal ini bukan sahaja melahirkan graduan yang tidak berdaya saing tetapi juga melebihi kehendak pasaran. Menurut sebuah laporan Bank Dunia, wujud kesenjangan antara pembekalan dan permintaan (supply and demand) dalam pasaran kerja untuk graduan, di mana terdapat lebihan graduan berbanding pekerjaan sedia ada yang sesuai dengan kelulusan mereka.

Ketidakpadanan pembekalan dan pemintaan ini menyumbang kepada pengangguran dan guna tenaga tidak penuh (underemployment) di negara kita. Menurut perangkaan Kementerian sendiri, 27 peratus graduan IPTS dan 24 peratus graduan IPTA (institusi pengajian tinggi awam) tidak berjaya mendapat kerja enam bulan selepas tamat pengajian. Berdasarkan kenyataan Menteri yang saya memetik di atas pula, lebih kurang 8.8 peratus anak muda dalam lingkungan usia 20 hingga 24 tahun sedang menganggur.

Maka, bagi mengatasi masalah kelemahan kualiti pengajian tinggi, khususnya dalam kalangan IPTS, dan juga untuk menangani kadar pembayaran balik yang rendah, saya mencadangkan agar beban kewangan dialihkan daripada kerajaan kepada pihak swasta.

Pinjaman pendidikan dari pihak swasta dan sistem baucar

Tuan pengerusi,

PTPTN kini bergantung kepada dana awam, dan kegagalan untuk mengutip balik pinjaman sudah tentu akan membebankan Kerajaan. Oleh itu, saya cadangkan agar pinjaman pendidikan diambil alih oleh sektor swasta, seperti bank atau institusi kewangan lain. Sektor swasta bukan sahaja mempunyai jumlah dana yang mencukupi untuk menyediakan pinjaman pendidikan yang diperlukan, malah sudah pasti lebih efisien dan efektif dari segi pengutipan balik.

Namun, ini tidak bermakna Kerajaan boleh cuci tangan dalam hal ini. Pertama, saya mengesyorkan sistem baucar sisi-permintaan (demand-side voucher system), di mana setiap graduan SPM akan menerima subsidi daripada Kerajaan. Bagi memastikan subsidi ini akan memanfaatkan golongan yang kurang berpendapatan serta memberi ganjaran untuk prestasi baik, maka formula baucar ini boleh dikaitkan kepada pendapatan isi rumah serta prestasi peperiksaan pelajar tersebut.

Sebagai contoh, seseorang graduan SPM yang berasal daripada isi rumah berpendapatan rendah dan telah mencapai keputusan cemerlang, mungkin akan diberi baucar bernilai RM20,000. Bagi pelajar daripada isi rumah yang lebih berada dan mungkin mendapat keputusan yang tidak terlalu hebat, mungkin beliau akan diberi baucar bernilai RM10,000. Saya menggunakan angka-angka ini hanya untuk memberi gambaran – formula yang betul harus ditetapkan setelah mengkaji pelbagai faktor.

Baucar ini pula boleh digunakan untuk memasuki mana-mana IPT yang diingini, dan akan bertindak sebagai subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan. Sudah tentu, baucar ini tidak akan menampung seluruh kos pengajian, dan di sini pinjaman pendidikan daripada pihak swasta yang saya nyatakan tadi dapat berfungsi sebagai pelengkap kepada sistem baucar.

Kedua, pinjaman pendidikan ini, walaupun daripada sektor swasta, harus dijamin oleh Kerajaan Persekutuan agar kadar faedah pinjaman yang berdaya saing dapat diperolehi dan pada masa yang juga menjadikan pinjaman ini sebagai aset bernilai tinggi yang memungkinkan peluang pelaburan dalam bentuk asset securitization pada masa depan.

Pendekatan ini, dilaksanakan bersama dengan kaedah pembayaran balik berdasarkan pendapatan dan juga garis minima pendapatan yang saya cadangkan tadi, akan memastikan kelestarian jangka panjang pinjaman pendidikan. Ini kerana pengalaman sektor pinjaman pihak swasta menunjukkan bahawa kadar pembayaran balik adalah lebih tinggi kerana ramai yang khuatir akan natijah yang bakal ditimpa sekiranya mereka tidak membayar balik.

Lebih penting lagi, dengan peralihan pinjaman pendidikan kepada pihak swasta, kita juga dapat membendung masalah IPT yang tidak berkualiti. Ini kerana mekanisme pasaran akan menghasilkan pembetulan (market correction). Sebagai contoh, sudah tentu pihak bank tidak akan memberikan pinjaman kepada pelajar yang ingin belajar di institusi yang meragukan dari segi kualiti, kerana kebarangkalian graduannya mendapat kerja yang baik dan seterusnya membayar baik pinjaman adalah rendah. Dalam erti kata lain, ini akan secara semula jadi memaksa institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan daya saingan mereka dan juga mengurangkan jumlah institusi yang tidak berkualiti.

Saya harap cadangan-cadangan pembaharuan ini dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian, agar kita dapat sama-sama memantapkan lagi sektor pendidikan tinggi dengan cara yang dapat menjamin kelestarian pinjaman pendidikan, tidak membebankan peminjam dan pada masa yang sama juga memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan.

Sekian, terima kasih.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);