Sertai TYT berbasikal tinjau potensi produk eko pelancongan Pinang Tunggal

Admin
TYT Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (paling hadapan) turut sertai kayuhan ria ‘Sunset Ride @ Penang Tunggal’ sejauh 10km dari Kampung Permatang Saga di sini tadi.

PINANG TUNGGAL – Hampir 200 peserta hadiri Acara Kayuhan Ria bersama-sama Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Seri Khadijah Mohd. Noor bagi meninjau beberapa destinasi menarik sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal sebentar tadi.

Umumnya, penganjuran berkaitan adalah bagi meninjau lokasi sekitar yang berpotensi untuk dijadikan produk eko pelancongan desa bagi Seberang Perai.

GAMBAR Ketua Menteri (paling hadapan) dan beberapa peserta ‘Sunset Ride @ Pinang Tunggal’ melambaikan tangan antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal; Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai acara kayuhan ria sejauh 10 kilometer (km) dari Kampung Permatang Saga di sini.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi merakamkan penghargaan kepada Ahmad Fuzi dan isteri kerana meluangkan masa menyertai acara Sunset Ride @ Pinang Tunggal.

Menurut beliau, selain laluan berbasikal dari Kampung Permatang Saga ke Rumah Pam Lahar Tiang seterusnya ke Ekor Kucing yang menjadi sempadan antara Negeri Pulau Pinang dan Kedah, masih terdapat banyak lagi destinasi menarik berpotensi untuk dijadikan produk eko pelancongan negeri pada masa hadapan.

“Bagi menggerakkan lagi sektor eko pelancongan dan sektor sukan di kawasan SPU (Seberang Perai Utara), TYT telah dijemput untuk bersama-sama kita (di sini) pada petang ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong dalam acara berkaitan di sini pada 8 Januari 2022.

SERENTAK pada acara perasmian Hentian Berbasikal Kampung Permatang Saga, TYT turut menyempurnakan acara pemberian 10 buah basikal kepada kanak-kanak tempatan terpilih tadi.
WAKIL MBSP menjelaskan mengenai Batu Sempadan British Siam, 1831 yang menjadi antara tarikan pelancongan yang wujud di sini.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Berbasikal G Pulau Pinang serta semua agensi yang selama ini terlibat dalam mewujudkan laluan berbasikal desa sepanjang 30km dengan melalui kawasan kampung, batas sawah padi, anak sungai dan tasik sekitar KADUN Pinang Tunggal.

Selain itu, Ahmad Fuzi turut meluangkan masa merasmikan Hentian Berbasikal Kampung Permatang Saga berhampiran Rumah Pam Lahar Tiang.

Sebelum menikmati saat terbenamnya matahari berhampiran Pulau Perai, Ahmad Fuzi dan isteri turut dibawa melawat Batu Sempadan British Siam yang menjadi simbol sempadan antara dua negeri berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS