Siap projek tepat masa elak denda – KM

KOMTAR – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihatkan para kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek baru supaya menyiapkan kerja dalam tempoh masa ditetapkan bagi mengelakkan tindakan denda lewat siap projek yang bakal dinaikkan jumlahnya oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri bakal menaikkan denda lewat siap projek sebanyak 50 peratus bagi menangani masalah kelewatan yang boleh menyusahkan semua pihak.

“Kita (Kerajaan Negeri) beri nasihat kepada kontraktor supaya tidak bermain ‘silap mata’ dengan Kerajaan Negeri, kerana kita amat mementingkan ketepatan masa untuk memudahkan semua pihak terutamanya rakyat.

“Selain itu, pendekatan ini turut dapat membantu dari segi penjimatan selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan sejak tampuk pemerintahan diambilalih pada 2008,” ucapnya pada Majlis Perasmian Kompleks Makanan Padang Brown yang telah siap dinaiktaraf di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Melalui proses tender terbuka, Syarikat Arza Aktif Enterprise berjaya dilantik sebagai kontraktor projek bermula 1 April 2015 dan ia berjaya disiapkan dua bulan selepas itu (Jun 2015).

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa intipati projek naiktaraf Kompleks Makanan Padang Brown turut diselitkan dengan penyediaan kemudahan bertaraf antarabangsa khususnya untuk para peniaga di sini.

”Kompleks makanan ini tidak pernah dinaiktaraf lebih dari 20 tahun.

”Dengan kejayaan ini (selepas dinaiktaraf), diharapkan Kompleks Makanan Padang Brown akan menarik lebih ramai pelancong yang menggemari makanan tempatan Pulau Pinang,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Dalam pada itu, Patahiyah menyifatkan bahawa kejayaan penaiktarafan ikon bernilai RM2.62 juta tersebut adalah selaras dengan pengiktirafan MBPP sebagai bandar raya tahun ini.

”Ini merupakan suatu pembangunan fizikal yang menjadi visi diri saya sendiri khususnya dalam menjadikan Bandaraya Pulau Pinang setanding bandar raya bertaraf antarabangsa yang lain,” ujarnya.

Tambah beliau, penarafan kompleks makanan tersebut adalah merangkumi 52 unit gerai makanan dan minuman, tandas lelaki dan wanita, ruang khas menyusu, surau, laluan basikal serta kerja-kerja landskap.

”Selain menaiktaraf secara fizikal, selaku Datuk Bandar, saya juga amat prihatin terhadap isu-isu berkaitan sanitari dan keselamatan makanan.

”Malah, sebagai tambahan, MBPP kini juga giat menjalankan pembangunan melalui aspek kemahiran mengendalikan pelanggan bagi memastikan imej dan budaya penjaja negeri ini menjadi teladan kepada para peniaga lain,” kata Patahiyah.