Naiktaraf Astaka Kota Selera selepas 37 tahun operasi

PADANG KOTA – Astaka Kota Selera dekat Padang Kota Lama kini dinaiktaraf selepas kira-kira 37 tahun beroperasi serta menjadi salah satu destinasi pelancongan makanan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Ewein Berhad serta anak syarikatnya, The Esplanade Park Sdn. Bhd. kerana menyumbang RM500,000 di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.

“Sumbangan CSR yang disampaikan oleh Datuk Ewe (Swee Keng, Pengarah Urusan Kumpulan Ewein Berhad) ini menyerlahkan sokongan sektor korporat pada perubahan yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap lebih ramai pihak tampil bersamasama Kerajaan Negeri melakukan perubahan yang lebih baik untuk keselesaan mutu hidup rakyat di negeri ini,” ucapnya pada Majlis Perasmian Pembukaan Astaka Kota Selera Selepas Penarafannya di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam selepas itu turut menyempurnakan majlis menandatangani plak, serta menanam beberapa anak pokok hankerchief tree di pekarangan pintu masuk utama ke astaka tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow turut berucap pada majlis tersebut. Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Teh Lai Heng (ADUN Komtar), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis itu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Patahiyah Ismail, Datuk Abu Jamal Nordin (Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli (Pengerusi Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd), Woo Choo (Konsulat Jeneral China ke Pulau Pinang) dan Shahul Hameed Syed Mohammed (Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Astaka Kota Selera Padang Kota Lama).

Tarian ‘Overtura’, iaitu gabungan tarian kebudayaan Melayu, Cina dan India oleh anggota Majlis Kebudayaan Negeri merupakan antara persembahan pentas yang menarik pada majlis tersebut.

Semua tetamu turut disajikan pelbagai juadah terkenal seperti mee sotong, coconut shake dan pasembur.

Astaka Kota Selera dekat Padang Kota Lama selepas penarafan akan dibuka mulai jam 11 pagi hingga 8 malam.