Silang Budaya rentasi 6 negeri jalin penyatuan hubungan, ketengah budaya

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Kembara Silang Budaya 2016 berkonsepkan ‘travelling exhibition’ diterajui Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) baru-baru ini bukan sahaja berjaya mengetengahkan tradisi serta kebudayaan masyarakat negara ini, malah turut mewujudkan jalinan hubungan antara Jabatanjabatan Muzium Negeri yang mengambil bahagian.

Kurator LMNPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pameran dan Pendidikan Kembara Silang Budaya 2016, Haryany Mohamad berkata, idea untuk melaksanakan pameran bergerak buat julung kali tersebut merupakan hasil kreatif LMNPP dengan tujuan mempamerkan tradisi dan kebudayaan di Malaysia yang kini jarang diketengahkan.

“Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan pada aspek seni, budaya dan warisan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa, malah ia juga dapat meningkatkan kefahaman umum mengenai tradisi masyarakat di Malaysia yang jarang ditonjolkan

“Ianya (pameran) unik, kerana setiap negeri saling mengenali budaya dari negeri lain. Pada pameran berkaitan, setiap negeri mempunyai subjek tersendiri (di setiap lokasi pameran) untuk diketengahkan selain menyediakan aktiviti berbeza mengikut kreativiti setiap negeri penganjur,” ujarnya pada Majlis Penutup Kembara Silang Budaya 2016 di Muzium Negeri Pulau Pinang, Jalan Macalister, di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang mewakili Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Sebanyak enam Jabatan Muzium Negeri iaitu LMNPP, Lembaga Muzium Negeri Kedah, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Yayasan Warisan Johor, Lembaga Muzium Negeri Perak dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengambil bahagian dalam penganjuran yang merentasi seluruh Semenanjung Malaysia bermula April lalu dan berakhir di Pulau Pinang pada 18 Disember 2016.

Antara tradisi dan kebudayaan yang ditonjolkan ialah warisan seni gambus dari JMM, wayang kulit tradisional (Kedah), cempuling (Selangor), tarian zapin (Johor) dan dabus (Perak). Manakala, Pulau Pinang selaku perintis projek memilih konsep Ghazal Parti untuk diketengahkan.