Bina sistem pembendung Sungai Pinang atasi banjir, cadang Jagdeep

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

 

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini mencadangkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang dapat mempertimbangkan pembinaan sistem pembendung sungai atau baraj di Sungai Pinang bagi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut pada masa hadapan.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkata, sistem pembendung sungai merupakan salah satu penyelesaian holistik yang berkesan untuk menahan aliran air, terutama ketika fenomena air pasang dan musim hujan.

“Penduduk di sini (Datuk Keramat) sudah menunggu selama 15 tahun dan saya rasa sistem baraj yang mempunyai pintu kawalan air ini amat efektif mengawal aliran air sekaligus mampu mengatasi masalah banjir di kawasan ini.

“Lagipun, rancangan tebatan banjir bukan hanya terhad bagi kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai semata-mata,” katanya sejurus merasmikan Majlis Tamat Pengajian bagi pelajar-pelajar Sri Ramakrishna Ashramam di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, cadangan tersebut telahpun disuarakan kepada Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok baru-baru ini.

“Cuma saya berharap agar peruntukan RM150 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek tebatan banjir di Sungai Pinang dapat juga digunakan untuk membina baraj di muara Sungai Pinang,” katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang kerana meluluskan peruntukan segera RM220 juta bagi tujuan tebatan banjir di negeri ini.} else {