PERMATANG BERANGAN – Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) buat kali kelima akan menganjurkan Expo PERDA (EXPERT) di Midtown PERDA, Kubang Menerong dekat Tasik Gelugor pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
Bertemakan Sinergi Halal: Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi, acara tahunan itu menyasarkan penyertaan lebih 200 pempamer serta kehadiran kira-kira 75,000 pengunjung.

Pengerusi PERDA, Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin berkata, agensi persekutuan tersebut berharap ekspo berkenaan dapat memperkukuh kerjasama strategik dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, selain menjana nilai pemerolehan kontrak yang melebihi RM3.2 juta seperti yang dicapai pada edisi keempat penganjuran tahun lalu.
“EXPERT 2026 dirangka dengan menyasarkan penyertaan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian dengan setiap peringkat umur dan kumpulan sasaran.
“Inisiatif ini bertujuan mengetengahkan produk luar negara di samping mempromosikan produk usahawan tempatan, khususnya dari Pulau Pinang, bagi membuka peluang pasaran import dan eksport serta meningkatkan jaringan perdagangan serantau,” katanya ketika merasmikan Program Prapelancaran EXPERT 2026 di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia turut mengumumkan diskaun 20 peratus bagi kadar sewa tapak gerai pameran sebagai menyahut seruan Perdana Menteri agar agensi kerajaan mengambil inisiatif membantu usahawan mendepani cabaran ekonomi semasa.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa harga sewaan tapak gerai pameran bermula daripada RM120 hingga RM1,500 sepanjang tempoh tiga hari penganjuran ekspo tersebut.
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dijangka hadir bagi merasmikan EXPERT 2026.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Pengurus Besar PERDA, Dato’ Mohd. Asri Baharum berkata, EXPERT 2025 berjaya menarik lebih 75,000 pengunjung serta merekodkan nilai transaksi dan kontrak pemerolehan melebihi RM3 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan para pengusaha berhubung isu lambakan durian premium yang menyebabkan harga jualannya menurun pada musim durian yang dijangka berakhir awal Ogos depan.
Ahli Lembaga Pengarah Perda Venture, Dato’ Mohd. Noor Ahmad yang juga Ahli Majlis bagi Majlis Badaraya Seberang Perai (MBSP) turut sertai Majlis Prapelancaran Ekspo PERDA (EXPERT) Tahun 2026 di sini tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD