Sistem gred COMBI pantau wabak denggi, zika

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Kaedah penggredan premis melalui kerjasama Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) setempat akan diaktifkan semula, demi memastikan tiap-tiap lokaliti bebas daripada pembiakan jentik-jentik.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, langkah itu bukan sahaja mencegah penularan wabak denggi, bahkan sekaligus sebagai persiapan menghadapi risiko virus zika yang kini telahpun menyerang negara jiran, Thailand.

“Sistem gred ini sebenarnya sudah dilancarkan sejak awal tahun 2015 lagi, namun agak perlahan selepas itu, dan kini kita berhasrat untuk mengaktifkan semula dengan melekat kad berkenaan di setiap rumah,” katanya selepas Majlis Taklimat Khas Ancaman Wabak Denggi dan Zika Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Norlia Yahya.

Jelas Afif, menerusi pelaksanaan inisiatif berkaitan, tiap-tiap premis akan dinilai mengikut gred A, B, C dan D di atas kad penggredan.

“Kriteria A menunjukkan tiada tempat pembiakan jentik-jentik dijumpai, terdapat satu tempat pembiakan (B), terdapat dua tempat pembiakan (C), lebih dari dua tempat pembiakan (D) dan menunjukkan ada jentikjentik peringkat kepompong dijumpai (E),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Afif turut memuji COMBI Titi Teras dekat Balik Pulau kerana memulakan kembali sistem penggredan tersebut.

“Skuad COMBI Titi Teras, Balik Pulau memperkenalkan sistem penggredan ini pada mulanya, dan kita dapati ianya efektif untuk mengesan tahap pembiakan nyamuk di sesebuah lokaliti,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng dalam ucapannya memberitahu bahawa beliau sendiri sebelum ini menghadiri rumah mangsa kematian akibat denggi supaya menyemarakkan kesedaran komuniti terhadap wabak pembunuh itu.

“19 kes (kematian) akibat denggi pada tahun lepas sudah (2015) cukup tinggi, berbanding sembilan kes dalam tempoh satu bulan setengah (sehingga 13 Februari 2016).

“Sekali lagi, saya merayu supaya segera berjumpa doktor apabila demam, dan bersama-sama menjaga kebersihan di sekeliling tempat tinggal kita,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih. Pada majlis sama, Norlia memberi taklimat khas mengenai peri bahaya zika dan denggi.