Sistem Perkongsian Basikal menjelang 2015

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bakal menjadi negeri pertama dalam negara yang membekalkan perkhidmatan Sistem Perkongsian Basikal automatik menjelang Mei 2015.

Pengumuman tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Katanya, dengan pengimplementasian sistem berkenaan, sebanyak 25 stesen, 1,000 dek basikal dan basikal (500 buah) akan ditempatkan di sekitar George Town.

“Projek bernilai RM9.2 juta dibiayai syarikat yang berjaya memenangi tender Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Public Bike Share Sdn. Bhd. akan mula muncul di sini pada Mei 2015 dan perancangan rangkaian dijangka siap sepenuhnya dua tahun kemudian (2017),’’ ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye, Pengarah Bangunan MPPP, Ar. Yew Tung Seang, Ahli-ahli Majlis MPPP dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Public Bike Share Sdn. Bhd., Hubert Fong.

Request For Proposal (RFP) untuk merekabentuk, meletak, operasi dan menyelenggara Sistem Perkongsian Basikal di sini bermula pada 31 Disember tahun lalu dan ditutup, 7 April lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, MPPP menerima empat proposal tender iaitu dua syarikat dari Pulau Pinang, Selangor serta Kuala Lumpur masing-masing sebuah.

Guan Eng memberitahu, kriteria tender memerlukan syarikat yang berjaya menanggung semua kos perancangan, penyediaan, operasi dan penyelenggaraan

Sistem Perkongsian Basikal dengan tempoh konsesi selama 12 tahun.

“Syarikat itu juga akan membayar yuran konsesi kepada MPPP dari tahun ketujuh dengan RM100,000, tahun ke-lapan (RM200,000) dan tahun ke-sembilan hingga (tahun) ke-12 (RM300,000 setiap tahun) dengan jumlah keseluruhan RM1.5 juta,’’ jelas beliau.

Tambahnya, konsep Sistem Perkongsian Basikal adalah dengan menggunakan sekeping kad akses, seseorang dapat mengambil (pick up) basikal di stesen-stesen tertentu, berbasikal ke destinasi dituju dan mengembalikan ia (basikal) tersebut.

“Ia mudah. Serentak itu, sistem ini adalah untuk mempromosikan aktiviti berbasikal sebagai mod alternatif pengangkutan dan memperkenalkan persekitaran yang sihat dan mesra persekitaran.

“Malah, ia juga adalah bagi merealisasikan visi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri berbasikal,’’ nyata Guan Eng.