Jenayah perkara utama diberi perhatian – KM

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan secara serius cadangan Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Abd. Rahim Hanafi berhubung pelaksanaan sistem jalan sehala di sini (George Town) sebagai usaha memerangi kegiatan jenayah.

Kenyataan tersebut disuarakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bagi mengulas pandangan Abd. Rahim berhubung inisiatif tersebut di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedia mengkaji cadangan tersebut sekiranya ia mampu mengurangkan kadar jenayah terutamanya di Daerah Timur Laut (DTL).

“Masalah jenayah adalah perkara utama yang diberikan perhatian Kerajaan Negeri.

“Meskipun angka menunjukkan indeks jenayah menurun kepada 7.8 peratus bermula Januari hingga Jun 2013/2014, tetapi, jenayah curi ragut di kawasan tersebut (DTL) membimbangkan kerana ia adalah kawasan pelancongan.

“Malah, berdasarkan rekod, terdapat peningkatan 109.7 peratus iaitu daripada 31 kes curi ragut kepada 65 kes (curi ragut) dicatatkan di Daerah Timur Laut (DTL),” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, Patahiyah dan Boon Poh akan membincangkan perkara tersebut secara terperinci dengan Abd. Rahim.

“Jika beliau (Abd. Rahim) rasa cara ini dapat kurangkan jenayah, kita minta Patahiyah mengkaji perkara tersebut,” ujar beliau.