SPAN, IWK perhebat operasi premis gagal kosongkan tangki septik

a3acb0bf 8118 4848 a2f3 a972bc3fbb11

PULAU TIKUS – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mengadakan operasi terhadap premis yang gagal menjalankan pengosongan tangki septik secara berjadual di sekitar Pulau Pinang.

5070dbd1 cc3a 449a b270 d74f08ae9f82

Menurut Pengarah Eksekutif Operasi SPAN, Lt. Kol. Mohd. Jalaludin Sulaiman, operasi penguatkuasaan dilaksanakan bermula 28 hingga 30 April 2026 melibatkan hampir 205 premis komersial, industri dan domestik yang gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik yang dikeluarkan oleh IWK sebelum ini.

“Sehubungan itu, SPAN akan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis pematuhan bagi pengosongan tangki septik terhadap pemilik atau penghuni yang didapati tidak mematuhi arahan.

“Tangki septik individu merupakan tangki mendapan yang mempunyai ruang simpanan yang terhad.

“la telah direka bentuk untuk menerima air kumbahan dari tandas, bilik mandi, dapur dan mesin basuh.

“Sekiranya ia tidak dikosongkan, air kumbahan akan mengalir keluar ke parit dan mencemari parit atau longkang,” ujarnya kepada pemberita sejurus melakukan pemeriksaan di premis-premis sekitar Jalan Kelawei di sini petang tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Operasi IWK, Ir. Taufik Salleh dan Pengarah Seksyen Komunikasi Strategik Bahagian Khidmat Pengurusan SPAN, Ts. Mohd. Fazilah Ismail.

Difahamkan setakat 2024, terdapat lebih daripada 1.38 juta tangki septik individu di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan dan 15,049 daripadanya berada di negeri Pulau Pinang.

Daripada jumlah tersebut kesedaran mengosongkan tangki septik dua tahun sekali masih rendah iaitu cuma 12 peratus.

“Tetapi di Pulau Pinang kadar kesedaran untuk mengambil tindakan mengosongkan tangki berada pada tahap 18 peratus, tinggi sikit.

“Sasaran nasional kita sasarkan 30 peratus, oleh sebab itu kita perhebatkan operasi kesedaran tentang peri pentingnya pengosongan tangki septik ini,” jelasnya lagi.

Tambah Mohd. Jalaludin, bawah seksyen 65 (1)(c), Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik hendaklah menyenggara dan menjaga sistem tersebut dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan atau pemegang permit untuk menjalankan nyah enap cemar ke atas tangki septik milikinya pada lat tempoh yang ditetapkan.

“Seseorang yang melanggar subseksyen (1), melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak lebih lima puluh ribu ringgit (RM50,000.00).

“Manakala, di bawah peruntukan Seksyen 66 (1) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana pemilik yang bertanggungjawab bagi suatu sistem pembetungan persendirian yang sebegitu kotor sehingga menjadi kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan, telah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabit, boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” tegas beliau.

Justeru, SPAN menyeru agar semua pemilik premis dengan memberi kerjasama dengan mematuhi notis yang dikeluarkan serta memastikan penyelenggaraan tangki septik dilakukan secara berjadual bagi manjami kebersihan alam sekitar, kesihatan awam dan kelestarian sistem pembetungan negara.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN