Durian dijangka tidak alami kenaikan harga ketara

img 0600

MUSIM ‘raja buah’ sudah sampai di Pulau Pinang, melalui tinjauan lensa Buletin Mutiara sekitar Barat Daya, beberapa khemah jualan durian sudah didirikan.

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan MUHAMMD IQBAL HAMDAN sempat meninjau beberapa gerai bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan musim durian 2026.

img 0598 img 0599

Menurut peniaga durian 901 MOHAMAD SHAWALMIN MD. SOFI, 20-an, beliau bersama rakannya baru memulakan perniagaan beberapa hari yang lalu berhampiran Bukit Ayun.

Jelasnya, beliau mengambil stok durian di kawasan Sungai Pinang Balik Pulau.

“Kalau buah (durian) Sungai Pinang ini memang setiap musian ia paling awal sekali berbanding tempat lain.

“Sebab itulah kami dapat jalankan perniagaan lebih awal sedikit berbading sesetengah tempat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Ditanya mengenai harga, Mohamad Shawalmi memberitahu bahawa setakat ini masih tiada kenaikan ketara walaupun berlaku krisis global bahan api susulan perang di Asia Barat.

“Setakat ini harga masih sama macam tahun lepas, saya jangka kalau ada kenaikan pun mungkin sedikit, kena tengok pada keseluruhan musim yang dijangka tamat pada Julai,” maklumnya lagi.

img 0595

Sementara itu, penjaga Happy Durian, PHUONG NGA, 40-an  di Jalan Tun Dr. Awang pula baru sahaja menjalankan perniagaan di situ selama dua hari.

“Kami menawarkan pelbagai jenis durian daripada kampung sampailah kualiti premium pada harga berpatutan,” jelasnya yang memajak durian dari sebuah dusun di Balik Pulau.

img 0602 img 0601

Pemilik JOMI Durian, JOHAN ABU BAKAR berpendapat, faktor cuaca turut memberi kesan kepada hasil buah pada musim kali ini kerana kebanyakan pokok di kebunnya berusia antara 30 hingga lebih 50 tahun.

“Oleh itu, bagi memastikan hasil yang lebih baik, saya menggunakan baja khas untuk menggalakkan pembungaan serta meningkatkan kualiti buah durian yang dihasilkan.

“Esok atau lusa saya akan memulakan perniagaan seperti biasa di Anjung Indah, saya bersyukur sungguhpun belum memulakan perniagaan, sudah ada pelanggan yang tanya berkenaan durian ini,” maklum Johan yang turut aktif memasarkan durian melalui pelbagai platform media sosial.

Musim durian juga menjadikan kawasan Balik Pulau seperti pesta, kenderaan berpusu-pusu masuk demi mencari buah terbaik di sana.

img 0604

Ahli Parlimen Balik Pulau, DATO’ MUHAMMAD BAKHTIAR WAN CHIK dalam satu kenyataan kepada Buletin Mutiara memberitahu pelbagai agensi turut bersiap sedia setiap kali menjelang musim durian.

Beliau menyifatkan musim yang sedikit awal tahun ini menjadi rezeki kepada pekebun durian dan seperti biasa kehadiran pelancong ke Balik Pulau sudah dijangka.

“Bagi memastikan pengalaman pengunjung terpelihara dan pekebun kita mendapat manfaat maksimum, beberapa persediaan telah dan sedang kita laksanakan.

“Untuk keselamatan dan keselesaan pelancong, penyelarasan trafik kita bekerjasama dengan polis dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk kawal aliran trafik di laluan utama Teluk Bahang – Balik Pulau – Kongsi – Pondok Upeh, terutama pada hujung minggu.

“Mengenai kemudahan awam, kita menambah baik tandas awam, tong sampah dan papan tanda arah ke dusun-dusun berdaftar di sekitar Anjung Indah dan Sungai Pinang.

“Saya menyeru semua pengusaha supaya jaga kualiti, jujur dalam timbangan dan layan pengunjung  sebagai tetamu, reputasi Balik Pulau sebagai ‘Syarikat Durian Malaysia’ mesti kita jaga bersama,” katanya lagi.

Beliau turut mengalu-alukan kedatangan pengunjung sambil berharap semua pihak mampu menjaga kebersihan dusun kerana kerajaan mahukan pelancongan yang mampan, bukan musim yang meninggalkan masalah.