Naik taraf Pasar Awam Bayan Baru diteruskan, dekati komuniti peringkat akar umbi

Admin
2641853a 208d 489f 89fd 6b06895fa430

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi ‘Jelajah CM Chow’ berkala ke pasar awam dan kompleks makanan sebagai usaha mendekatkan pentadbiran dengan komuniti setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang digerakkan bersama kepimpinan negeri itu bukan sahaja membuka ruang komunikasi dua hala, malah membolehkan maklum balas daripada peniaga dan pengunjung disalurkan secara terus kepada pihak berkuasa.

“Program jelajah ini dilaksanakan secara konsisten, sama ada setiap minggu atau dua minggu sekali, bagi memastikan isu di lapangan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.

“Sebagai contoh, Pasar Awam Bayan Baru kini sedang menjalani projek naik taraf menyeluruh, dan kini memasuki fasa kedua bagi beberapa lokasi yang sebelum ini telah melalui kerja-kerja penambahbaikan.

“Malah, Kerajaan Negeri menjangkakan projek tersebut akan selesai sepenuhnya sebaik sahaja bahagian jualan daging siap dan peniaga dipindahkan ke lokasi baharu, sebelum tumpuan beralih kepada kompleks makanan di kawasan berkenaan,” katanya semasa sesi sidang media di sini sebentar tadi.

02822eeb 6e9a 4c90 8081 f749cdbaf5d5 eeac621d 2db4 4f0a 8351 955baa5cbbb3 5836180d ac9c 4d15 8e3b 138cbc314003 5ed42eba 1c08 481f acc4 7d7e0d9f8c55
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze serta barisan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut, Kon Yeow akui bahawa terdapat cabaran sepanjang pelaksanaan projek, khususnya melibatkan keperluan menyediakan tapak sementara yang boleh menjejaskan operasi harian peniaga.

“(Pihak) Kerajaan Negeri memahami kebimbangan peniaga, namun segala usaha akan diambil bagi meminimumkan gangguan dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

“Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap aspek pengurusan sisa pepejal, khususnya penyelenggaraan kawasan tong sampah yang dikenal pasti mempunyai isu takungan air di beberapa lokasi sementara.

“Peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) amat penting dalam merealisasikan setiap projek yang dirancang.

“Sehubungan itu, setiap keputusan akan diselaraskan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan komuniti setempat menerusi sesi libat urus,” ujarnya yang merupakan ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

e656dad8 b24f 47db 91d2 9996aa18380c 9b4669f1 72e0 4ca9 ace6 679d8d324a64 06fde8a3 e148 4f28 bb2b d77ebf03e124 28b580ef 22f1 4524 bffd af0a756ee5fa
Menyentuh mengenai perkembangan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIL), Kon Yeow turut menyatakan bahawa PIL dilihat sebagai komponen penting dalam usaha menyuraikan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

“Projek PIL1 telah menerima peruntukan awal daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan kajian, manakala pelaksanaan seterusnya bergantung kepada hasil kajian tersebut serta kelulusan peruntukan tambahan.

“Sebagai makluman, projek ini melibatkan pembangunan laluan strategik termasuk jajaran dari kawasan pulau ke rangkaian lebuh raya utama, yang dijangka dapat meningkatkan kelancaran trafik secara keseluruhan.

“Namun begitu, perubahan yang kita usahakan ini bukan sahaja melibatkan pembangunan fizikal, tetapi juga memerlukan kefahaman dan sokongan semua pihak demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” jelasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Video : SITI NURATIKAH RAHMAT