SSI Talent Show 5.0 tampilkan kreativiti dan bakat murid Istimewa

Admin
img 0263 enhanced nr

BATU UBAN – Program Sekretariat Sukarelawan India Talent Show 5.0, telah berjaya menyerlahkan bakat dan kreativiti 15 kumpulan serta peserta solo yang terdiri daripada murid-murid istimewa.

 

Menurut Pengarah Projek SSI Talent Show 5.0, J. Dakshayani, program ini bertujuan untuk mencungkil potensi tersembunyi murid-murid istimewa sambil meningkatkan keyakinan diri.

img 0004 enhanced nr
J. DAKSHAYANI.

“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak istimewa mempunyai keunikan tersendiri.

 

“Melalui program ini, kami memberi mereka platform untuk menunjukkan kebolehan serta kreativiti dalam suasana memberi sokongan dan inspirasi,” ujarnya pada acara penutup SSI Talent Show 5.0 di Dewan Utama Desa Siswa, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 25 Mei 2025 lalu.

 

Tema Fantasy yang dipilih untuk SSI Talent Show 5.0 memberikan ruang kepada murid-murid istimewa untuk ekspresikan imaginasi dan kreativiti mereka secara bebas.

img 0136 enhanced nr
PESERTA kategori individu membuat persembahan saksofon di SSI Talent Show 5.0.

 

“Persembahan yang penuh warna-warni bukan sahaja mencetuskan rasa kagum dalam kalangan penonton, malah menjadi bukti kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh para peserta.

 

“Kejayaan program ini adalah bukti bahawa kreativiti dan bakat tidak mengenal batasan.

 

“Saya berharap agar selepas ini, murid-murid istimewa lebih bersemangat untuk tampil di hadapan khalayak tanpa rasa rendah diri,” tambah Dakshayani lagi.

 

img 0198 enhanced nr
KUMPULAN peserta mempersembahkan tarian tradisional Jepun dengan pakaian kimono.

 

Beliau turut menekankan bahawa dalam program ini, tiada konsep “menang” atau “kalah,” kerana semua peserta akan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka.

 

Mengulas lanjut, Dakshayani menyatakan bahawa salah satu matlamat utama program ini adalah untuk menyemai semangat inklusif dalam kalangan masyarakat agar lebih ramai menghargai bakat luar biasa murid-murid istimewa.

 

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberikan pengalaman yang bermakna kepada peserta, tetapi juga mendidik masyarakat untuk menyokong dan menghargai kepelbagaian,” katanya yang merupakan pelajar tahun dua di Pusat Pengajian Pengurusan.

 

img 0187 enhanced nr
SEORANG peserta kategori individu mempersembahankan tariannya yang penuh semangat dan ekspresi.

 

Program edisi kelima ini turut melibatkan kerjasama bersama organisasi luar seperti Cerebral Palsy Association of Penang dan Gabungan Anak-anak Palsi Serebrum, Kuala Lumpur, dengan sumbangan daripada penaja disalurkan kepada badan-badan tersebut.

 

img 0247 enhanced nr
BARISAN peserta SSI Talent Show 5.0 bergambar bersama sijil penghargaan selepas berjaya mempamerkan bakat masing-masing di pentas acara yang penuh warna-warni.

Oleh: M. DANESWARAN
Gamabr: SSI TALENT SHOW 5.0