Sumbangan kaki palsu harap kurang derita Kye Hern

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berharap orang ramai dapat menyumbang dana melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Penang Light (Lions Club) demi menjayakan kerja-kerja kebajikan kepada golongan terpilih di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan bantuan Lions Club berupa kaki palsu kepada Choo Kye Hern, 10, di sini baru-baru ini.

Ayah kanak-kanak berkenaan, Choo Chuan Jin, 46, memberitahu, bahagian kaki kanan anaknya terpaksa dipotong kerana mengidap sakit Neurofibromas Jenis 1, iaitu sejenis gangguan genetik sejak bayi.

Pun begitu, jelas beliau, sumbangan kaki palsu berkenaan seakan mengurangkan penderitaan hidup anaknya sejak empat bulan lalu.

“Ini adalah keputusan yang paling sukar untuk kami buat. “Meskipun susah untuk kami menerima kenyataan, tapi ini adalah keputusan terbaik untuk Kye Hern ekoran pembedahan yang dilakukan pada tahun 2014 tidak menunjukkan kesan positif.

“Selepas tempoh setahun pembedahan, kakinya membengkok semula, justeru, pada Disember tahun lalu, atas nasihat pakar, kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut,” ujarnya pada sidang media di sini.

Difahamkan, sumbangan kaki palsu itu adalah sebahagian daripada program Lions Prosthetic Limbs Project, di bawah kendalian Pengerusi Program, Leslie Hong.

Menurut Gabenor Daerah Lions Club, John Loh, sumbangan kaki palsu jenis prostetik tersebut dianggarkan bernilai RM15,000, termasuk kos penyelenggaraan selama dua tahun.

Hubungi Lions Club atas talian 04 – 228 1091 untuk mendapatkan info lanjut atau menyalurkan sumbangan dana kebajikan bagi golongan terpilih di negeri ini.} else {