138 pelajar DUN Seberang Jaya terima Biasiswa Kecil Negeri

SEBERANG JAYA – Seramai 138 pelajar terpilih daripada lima sekolah di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya menerima sumbangan RM101,280 Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dalam ucapannya berharap semua pelajar terpilih berkenaan memanfaatkan biasiswa masing-masing sebaik mungkin.

“Kerajaan Negeri hanya mampu membantu melalui pemberian biasiswa seumpama ini kepada mereka yang layak.

“Tetapi, masa depan tiap-tiap pelajar sebenarnya boleh dipilih atau diubah dengan syarat mereka sendiri tekun memburu kejayaan di sekolah mulai hari ini,” ujarnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Abdul Jalil Che Ros di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini.

Difahamkan, seramai 23 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Jaya menerima biasiswa berjumah RM16,680, diikuti, SMK Permatang Rawa (35, RM25,800), SMK Pauh Jaya (27, RM19,320), SMK Tun Hussein Onn (35, RM29,280) dan SMK Bandar Perda (13, RM10,200).

Dalam pada itu, Muhammad Ikhwan Hakimi, 17, pelajar dari SMK Pauh Jaya yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut.

Menurut beliau, Pejabat ADUN Seberang Jaya yang menguruskan permohonan biasiswa tersebut, selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 7 Januari lepas.

“Saya berasa sangat terharu, terima kasih kepada pejabat YB (Dr. Afif) kerana membantu proses permohonan biasiswa ini dulu,” jelas Muhammad Ikhwan, diiringi ibunya, Norazliza Hamidon, 42.

Nada sama turut diluahkan Sidhartha Sham Hari, 16, pelajar dari SMK Permatang Rawa.

“Ayah saya sudah meninggal dunia, (manakala) mak saya sudah hilang pekerjaan tetap. Biasiswa ini cukup bermakna bagi pelajar terpilih seperti saya,” ujar pelajar berkenaan.