Susah senang bersama ADUN Batu Uban

BATU UBAN – Demi keselamatan penduduk di Lorong Nipah 3, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, S.Raveentharan telah mengambil inisiatif segera untuk mengetengahkan isu tebing longkang runtuh dan tiang lampu condong kepada pihak berkaitan di sini.

Ekoran itu, perkara tersebut telah memperoleh perhatian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Timur Laut yang kemudian mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan. Turut hadir adalah Setiausaha Sulit ADUN Batu Uban, Mohd. Tahir Marican dan Pembantu Khas ADUN Batu Uban, Francis Xavier.

Apabila punca kejadian telah dikenalpasti, pihak JKR Daerah Timur Laut telah bertindak segera dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembinaan semula tebing longkang dan jalan yang runtuh demi keselamatan penduduk di kawasan terbabit.

Pada majlis berasingan, Raveentharan yang turut peka dengan masalah penduduk turut menziarahi jenazah salah seorang penduduk Desa Permai Indah, Sungai Dua di sini baru-baru ini.

Di samping menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham.

Sementara itu, bagi memastikan tahap kesihatan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban sentiasa terpelihara, Raveentharan telah menyampaikan sumbangan apron kepada semua peniaga bazar Ramadan di Jalan Bukit Gambir berhampiran Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, majlis penyerahan dan juga lawatan yang diadakan bersama-sama dengan para pemimpin Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah SeMalaysia (PEKIDA) Daerah Timur Laut tersebut turut bertujuan mendekati para peniaga bazar yang terdiri daripada 100 peratus kaum bumiputera.