GEORGE TOWN – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang seakan memberi isyarat bahawa pihaknya akan memperketat syarat penapisan soalan bertulis supaya relevan dengan kepentingan negeri sahaja, pada persidangan akan datang.
Beliau berkata demikian selepas melihat pertikaman lidah yang sederhana berhubungan isu Kempen Hentikan Buli di antara Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 19 November 2025.
“Kadang-kadang saya memang tidak mahu ‘melepaskan’ (atau membenarkan) soalan bertulis kerana bersangkutan dengan kementerian, tetapi saya lihat ada juga soalan (bertulis) yang boleh Jabatan Pendidikan (Negeri, JPN) untuk membantu (dengan) menyediakan Jawapan Bertulis (kepada Exco berkenaan).
“Cumanya, soalan itu kena jelas, sebab itu banyak soalan bertulis saya tolak kerana tidak begitu jelas.
“Justeru, kalau timbul keadaan sedemikian (iaitu pertikaian seperti pada pagi ini), mungkin saya akan memperketat lagi semasa proses semakan (Soalan Bertulis supaya) jangan lagi saya pula dipersalahkan,” jelasnya dalam nada sederhana.
Lee Lee dalam Soalan Bertulis antara lain membangkitkan itu tahap perkembangan Kempen ‘Stop the Bully’ yang dilancarkan pasa tahun 2017.
“Jika kempen tersebut telah dihentikan, apakah inisiatif baharu yang diperkenalkan bagi menangani kes buli yang semakin serius di sekolah,” tanya beliau sambil meminta Exco berkenaan menyertakan maklumat terperinci termasuk jumlah perbelanjaan yang telah digunakan dalam isu berbangkit tersebut.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat menjelaskan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) tidak mempunyai sebarang maklumat rasmi berkaitan kempen ‘Stop the Bully’ yang dilancarkan pada tahun 2017 termasuk maklumat pihak pelaksana, perkembangan pelaksanaan mahupun jumlah perbelanjaan yang telah digunakan bagi program tersebut.
Lee Lee yang mencelah dalam Sesi Soal Jawab Tambahan selepas itu meminta Exco berkenaan memberikan jawapan yang komprehensif.
“Kempen (‘Stop the Bully’) itu seolah-olah telah terhenti tanpa sebarang pengumuman, jadi saya minta jawapan daripada Exco,” jelasnya.

Dalam reaksi spontan, Mohamad sekali lagi menjelaskan bahawa jawapan yang diberikan sebelum ini adalah berdasarkan rekod JPNPP.
“Bagaimanapun, program sebegitu (Kempen ‘Stop the Bully’) sekali lagi pada tahun 2023 sebenarnya; melalui program-program yang dilancar pada peringkat negeri dan JPNPP,” responsnya yang juga ADUN Batu Maung.
Difahamkan, Lee Lee mendakwa Kempen ‘Stop A Bully’ memang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sendiri dengan merujuk pada dua sumber berita dari Buletin Mutiara yang berjudul Rakyat Pulau Pinang tolak gejala buli, kita akan lawan pembuli; dan State needs community’s support to stem cyberbullying; serta Move to stop school bullies (The Star).
Di samping itu, beliau berkata soalan bertulis itu mungkin lebih relevan dijawab oleh Exco berkenaan yang memegang portfolio pada sesi penggulungan Exco nanti.
“Saya memang faham kalau ada kesilapan bahawa (Kempen) ‘Stop the Bully’ ini bukan di bawah portfolio pendidikan (untuk memberi jawapan).
“Saya anggap program (Kempen ‘Stop the Bully’ pada tahun 2017) ini adalah program Kerajaan Negeri, kita (dalam Sesi Soalan Lisan) sepatutnya menerima jawapan yang lengkap,” celah Lee Lee lagi sebelum Choo Kiang meminta beralih ke perbahasan Soalan Bertulis yang baharu.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMMAD IQBAL HAMDAN