DATOK KERAMAT – Program “Let’s Walk with Thalassemia 2025” anjuran bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Persatuan Talasemia Pulau Pinang bakal berlangsung pada 28 September 2025 bertempat di Taman Bandaraya (Youth Park Penang) , di sini.
Menurut Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP, Khairol Izwan Salamat, program ini memasuki penganjuran kali kelima dan kekal sebagai inisiatif bukan berorientasikan keuntungan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pengetahuan masyarakat mengenai talasemia serta peranan sokongan yang boleh dimainkan orang awam.
“Sasaran penyertaan tahun ini adalah seramai 1,000 peserta, dan sehingga kini kita telah berjaya mencapai 500 penyertaan berdaftar. Pendaftaran masih dibuka dan kita menggalakkan lebih ramai lagi untuk turut serta.


“Program bertemakan kesedaran awam mengenai penyakit talasemia itu dijadual bermula seawal 6.30 pagi hingga 11.30 pagi, dengan pelbagai pengisian bermanfaat untuk para peserta.
“Laluan berjalan kaki sejauh lima kilometer, yang dijangka mengambil masa kira-kira satu jam, akan membawa peserta menikmati pemandangan menarik dan suasana segar di sekitar Taman Bandaraya.
“(Dan) ia akan bermula serta berakhir di lokasi sama, melalui Jalan Jesselton,” katanya pada sidang media di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pada tengah hari tadi.
Mengulas lanjut, Khairol Izwan memberitahu bahawa peserta turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan termasuk sesi zumba, pemeriksaan saringan darah secara percuma serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah motosikal, hasil sumbangan daripada penaja.
“Antara tarikan lain adalah reruai pameran daripada agensi kerajaan, serta peluang mendapatkan maklumat kesihatan terus daripada petugas perubatan.
“Yuran penyertaan adalah sebanyak RM35, manakala penyertaan untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun adalah percuma,” jelasnya.
Sementara itu, pakar pediatrik dari Hospital Pulau Pinang, Dr. Ang Ming Ping, menjelaskan bahawa talasemia merupakan penyakit keturunan yang menjejaskan penghasilan sel darah merah yang sihat, sekali gus menyebabkan penghidapnya memerlukan pemindahan darah secara berkala.
“Selepas kerap menjalani pemindahan darah, pesakit akan mengalami masalah ‘iron overload’ dan perlu mendapatkan rawatan khas yang melibatkan kos tinggi.
“Oleh itu, penting untuk masyarakat faham dan jalani saringan awal,” jelasnya.
Dalam pada itu, difahamkan sebanyak 14 penaja utama akan menjayakan program tahun ini termasuk mempromosikan kempen kesedaran kesihatan berkaitan talasemia ini.
Orang ramai yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman web www.howei.com .

Oleh: M. DANESWARAN
Gambar: LAW SUUN TING