Takziah atas pemergian Allahyarham Bakhtiar

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri mengucapkan rasa takziah ke atas pemergian Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bakhtiar Appandi Yahya, 56, yang maut selepas dirempuh sebuah lori membawa kiub ais berhampiran kediaman Allahyarham di Taman Desa Sena, Tasek Gelugor pada 30 Mac lalu di sini.

Takziah kepada keluarga Allahyarham Bakhtiar (Bakhtiar Appandi), yang telah kembali ke rahmahtullah.

Allahyarham telah dua tahun bertugas sebagai Ahli Majlis MPSP dan jasa beliau (sebagai ahli majlis) sangat banyak,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika menyampaikan sumbangan khas RM10,000 kepada keluarga Allahyarham di sini baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan kepada balu Allahyarham yang ditemani anak lelakinya di Pejabat Ketua Menteri di sini.

Pada hari kejadian, Allahyarham Bakhtiar Appandi maut di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bertemu dengan beberapa peniaga di Pejabat MPSP, Bandar Perda.

Beliau meninggalkan seorang balu, Bani Amin Djaafar, 51 dan dua orang cahaya mata, Mohd. Firdaus al-Amin, 29, dan Siti Khausar al-Amin, 25.

Balu Allahyarham yang masih dalam keadaan terkejut dan pilu dengan pemergian Allahyarham tidak ingin ditemuramah.

Jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam berhampiran Masjid Kampung Bonggol di sini.

BANI Amin Djaafar (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada Ketua Menteri sambil ditemani anak lelakinya (dua dari kiri). Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (kiri sekali) dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh (empat dari kiri).
BANI Amin Djaafar (tiga dari kiri) menerima sumbangan daripada Ketua Menteri sambil ditemani anak lelakinya (dua dari kiri). Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (kiri sekali) dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh (empat dari kiri).