Bayan Mutiara : UMNO dinasihat adil dengan Islam, bukan Islam – Guan Eng

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng menasihatkan UMNO supaya bersikap adil dalam kontroversi penjualan tanah Bayan Mutiara yang hakikatnya membabitkan umat Islam dan penganut agama-agama lain.

Justeru, beliau turut menasihatkan pemimpin-pemimpin parti perkauman itu supaya tidak lagi memainkan sentimen perkauman rasis dengan menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya ‘melenyapkan’ tanah masjid demi mengelirukan orang Islam di negeri berkenaan.

“Kenapakah UMNO tidak menggembar-gemburkan ‘kehilangan’ tanah untuk tempat-tempat beribadat bukan Islam, tetapi hanya menekankan (kehilangan) tanah masjid?

“Apakah rakyat bukan Islam tidak penting buat UMNO,” ujarnya di dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Kata Guan Eng, beliau akan memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan keadilan hak kepada seluruh rakyat di negeri berkenaan tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Maka, beliau berasa yakin bahawa rancangan pihak pembangkang menabur pelbagai fitnah bagi memburukkan imejnya serta Kerajaan Negeri tidak mungkin berjaya.

 Lanjutan itu, beliau turut menasihatkan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin supaya berhenti melakukan fitnah.

Isu tanah Bayan Mutiara mula menjadi kontroversi apabila Kerajaan Negeri bersetuju menjual 102.6 ekar tanah, termasuk tambakan laut kepada Ivory Property Group Berhad (Ivory) selepas tender terbuka dilaksanakan.

Ivory dipilih kerana menawarkan harga belian paling tinggi, iaitu RM224 sekaki persegi atau RM1.07 juta.

RM500 juta dari hasil penjualan tanah itu diperuntukan oleh Kerajaan Negeri bagi membina 11,800 rumah mampu milik berkualiti di Batu Kawan, Seberang Perai Tengah di sini.

Bagaimanapun, isu Kerajaan Negeri didakwa menjual tapak masjid kemudiannya seakan diada-adakan selepas beberapa pemimpin UMNO gagal mengenepikan rekod ketelusan tender terbuka yang diamalkan oleh pentadbiran Guan Eng berhubung isu penjualan tanah Bayan Mutiara.

Pemimpin UMNO berkenaan adalah Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (Ahli Parlimen Kota Belud).

Guan Eng akhirnya dicabar berdebat oleh Shaik Hussein tetapi beliau memilih untuk mengfailkan saman fitnah ke atas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang itu, akhbar Utusan Malaysia dan akhbar Berita Harian.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng turut mempersoal kegagalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang era Barisan Nasional UMNO membuat pecahan lot tanah masjid ketika pelan pembangunan fasa I diluluskan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 2006, lalu digazetkan sebagai tanah wakaf masjid di bawah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau menegaskan bahawa semua pemaju wajib memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MPPP seperti membina masjid serta kemudahan-kemudahan lain sunggupun tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu sudah berpindah tangan ke Ivory.

Ivory masih belum menyerahkan pelan baru kepada MPPP, di mana setiap projek diwajibkan memperuntukan tanah untuk kemudahan-kemudahan awam seperti masjid, jalan, taman, perumahan kos sederhana rendah, sekolah dan tempat-tempat beribadat bukan Islam,” ujarnya.