PTSR bukti Pakatan giat bantu peniaga kecil

Admin

Oleh : ZULIANA AZIZ

Gambar : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

GEORGE TOWN – Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang diwujudkan sejak pemerintahan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (2009) di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah bertujuan menawarkan sistem pelaburan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan penjaja serta peniaga-peniaga kecil di negeri ini.

Menurut rekod, sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2009 hingga kini, jumlah keseluruhan peminjam PTSR adalah seramai 673 orang, yang mana 400 orang merupakan peminjam lama dan 273 adalah peminjam baru. Pada peringkat permulaan, jumlah maksimum pinjaman yang diberikan adalah sebanyak RM5,000 dengan syarat bayaran selama 12 bulan. Bagi pinjaman kedua, jumlah pinjaman maksimum adalah RM8,000, 24 bulan.

Menurut Iskandar Basha Abdul Kadir selaku Ketua Pegawai Operasi PTSR, skim pinjaman tersebut disasarkan kepada golongan memerlukan termasuk penerima sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan keluarga yang termasuk dalam program kebajikan masyarakat, golongan kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, jumlah pendapatan per kapita bulanan seisi keluarga tidak melebihi RM400 sebulan serta golongan penjaja dan peniaga kecil yang memiliki premis perniagaan di Pulau Pinang.

ISKANDAR Basha Abdul Kadir.
ISKANDAR Basha Abdul Kadir.

Dana tersebut diberikan untuk menampung apa yang telah dimulakan, bukannya baru nak mula. Maksudnya, usahawan yang sudah mempunyai premis perniagaan sahaja yang layak untuk memohon,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sebelum pinjaman disalurkan, PDC akan menghantar pegawai-pegawai yang terlibat ke lokasi-lokasi tertentu bagi memantau perkembangan pemohon pada pelbagai aspek seperti perniagaan yang dijalankan, tahap kebersihan dan sebagainya.

Pihak kami sentiasa membuka peluang kepada usahawan kecil untuk datang mengemukakan permohonan dan dari situ kami sedaya upaya cuba membantu menambah dana sedia ada.

Dana permulaan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM3 juta, iaitu RM1.5 juta daripada PDC dan selebihnya daripada pihak Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, pada tahun ini (2012), jumlah dana telah ditambah kepada RM4.5 juta ekoran sambutan yang menggalakkan,” jelasnya.

Ikuti temubual peminjam-peminjam PTSR bersama Buletin Mutiara :

Amlan Zaki, 34, Perniagaan sarung kaki, Logic Seven Interprise.

Menurut Amlan, skim pinjaman PTSR sangat membantu para usahawan kecil mengembangkan perniagaan dengan skim pinjaman mudah yang ditawarkan.

Disebabkan adanya PTSR, perniagaan saya semakin berkembang maju. Pinjaman yang terbaru iaitu pada pertengahan tahun 2011 adalah pinjaman saya yang kedua bersama PDC di bawah program ini.

Jumlah maksimum yang diluluskan oleh PDC ialah sebanyak RM5,000, namun, ia bergantung kepada ‘kekuatan’ dokumen yang disertakan semasa membuat permohonan. Bagi peminjam kali kedua, rekod pembayaran terdahulu menjadi faktor penting dan dititikberatkan oleh pihak PDC sebelum meluluskan permohonan,” tambah beliau lagi.

AMLAN Zaki.
AMLAN Zaki.

Tambah Amlan, pengalamannya selama tujuh tahun dalam bidang perniagaan sedikit sebanyak memberi motivasi kepada beliau supaya mengamalkan budaya menabung bagi persediaan awal menghadapi risiko di masa hadapan.

Bagi saya, RM5,000 yang diperoleh adalah tidak mencukupi. Saya sewa kedai di pesta pun dah RM5,000. Belum masuk kos untuk beli barang-barang lagi. Tapi, saya bersyukur sebab diberi peluang untuk membuat pinjaman dengan pihak PDC. Duit tu boleh la guna untuk ‘roling’ modal,” ujar beliau lagi.

Pemilik kedai dobi di Bukit Gedung, Salmah Hashim, 53.

Menurut Salmah, pinjaman yang diberikan itu dapat membantu mengurangkan beban terutama bagi yang baru untuk menjalankan perniagaan.

Pinjaman tu boleh buat modal pusingan makcik la. Kali pertama makcik dapat pinjaman adalah pada tahun 2009. Kali ni adalah pinjaman kedua makcik yang telah diluluskan,” ujarnya.

Menurut Salmah, beliau berjaya memperoleh pinjaman berjumlah RM 5,000 untuk kedua-dua permohonannya daripada PDC.

Terima kasih banyak la pada pihak PDC yang meluluskan permohonan makcik,” tambah Salmah.

Pemilik gerai Habuna II Bihun Sup, Rosnee Othman, 47.

Menurut Rosnee, pinjaman yang diperoleh berjumlah RM5,000 untuk kali kedua digunakan untuk membeli perkakasan berniaga seperti payung, meja dan sebagainya.

Ni pinjaman kali kedua. Mula-mula saya dapat RM1,100 sahaja pada tahun 2010. Boleh la tampung sikit perbelanjaan untuk perniagaan saya.

ROSNEE Othman.
ROSNEE Othman.

Sebelum ni, saya memang gunakan modal sendiri. Saya dapat tahu mengenai pinjaman ni daripada seorang kawan. Saya ambil borang dan terus hantar untuk diproses. Selepas dua bulan, pinjaman saya diluluskan,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah (SPT) di sini baru-baru ini.

Beliau yang ditemui bersama isterinya turut berkata, pengalamannya selama lebih 20 tahun dalam bidang perniagaan banyak menuntut sifat sabar dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.

Biasa la. Berniaga sendiri ni macam-macam ragam. Kena ambil kira cuti tahunan, hujan panas. Kalau musim hujan susah la sikit nak cari makan,” tambah Rosnee.