BATU UBAN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari percaya bahawa Taman Kejiranan Lengkok Nipah di sini berpotensi menjadi model rujukan pada peringkat negeri dan nasional bagi pembangunan taman rekreasi bandar yang mesra warga emas, responsif terhadap perubahan iklim serta berteraskan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-Based Solutions – NBS).
Menurutnya, kejayaan menukar kawasan lapang yang sebelum ini dijadikan tempat parkir kenderaan terpakai serta penempatan kontena secara tidak terurus kepada sebuah taman rekreasi bandar yang mesra warga emas diharap dapat membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan.

“Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha menaik taraf lebih banyak kawasan lapang kepada ruang rekreasi yang berkualiti dan inklusif,” jelasnya ketika merasmikan Projek Menaik Taraf Taman Kejiranan Lengkok Nipah di sini pada 8 Mac 2026.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, bandar raya George Town sememangnya memerlukan lebih banyak projek menaik taraf kawasan lapang kepada ‘koridor hijau’ bagi menangani peningkatan suhu persekitaran serta fenomena pulau haba bandar.
Sehubungan itu, beliau menyokong pelaksanaan Program Penyesuaian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP) yang melibatkan kerjasama antara World Bank Adaptation Fund, UN-Habitat, Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Think City Sdn. Bhd., sebagaimana diterjemahkan melalui projek menaik taraf Taman Kejiranan Lengkok Nipah.
“Fokus utama program ini memberi tumpuan kepada aspek penyesuaian iklim dan bukan hanya mitigasi, satu peralihan penting dalam pendekatan perancangan bandar yang menekankan keupayaan menyesuaikan diri, ketangkasan serta pembangunan berasaskan bukti sains,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kumbahan Serantau di Mak Mandin turut akan mengadaptasi pendekatan NBS dengan kos hampir RM8 juta.
Tambahnya lagi, projek penaiktarafan di bawah peruntukan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) itu merupakan inisiatif ‘reka dan bina’ yang menggabungkan kepakaran kejuruteraan dengan ekosistem semula jadi melalui sistem Constructed Wetland (CWS).
“Selama ini, sistem rawatan tradisional sering dikaitkan dengan risiko bau, kualiti air terawat yang kurang memuaskan akibat beban organik tinggi, serta potensi pencemaran kepada ekosistem air semula jadi.
“Melalui sistem Subsurface Flow Constructed Wetland (SSF-CWS) yang dibina, kita membawa nafas baharu kepada penduduk Mak Mandin dengan sistem rawatan sifar bau kerana air mengalir di bawah permukaan melalui media pasir dan batu kerikil,” jelasnya.


Terdahulu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata bahawa projek penaiktarafan Taman Kejiranan Lengkok Nipah itu mula dilaksanakan pada 6 Januari 2025 dan siap sepenuhnya pada 5 September 2025.
Menurutnya, projek yang menelan belanja sebanyak RM713,000 itu melibatkan kawasan seluas 3,365 meter persegi atau kira-kira 0.9 ekar, dengan komposisi 66.5 peratus kawasan hijau dan 33.5 peratus kawasan berkonkrit.
“Nisbah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengurangkan permukaan tidak telap air serta memperkukuh fungsi ekologi dalam persekitaran bandar, termasuk meningkatkan keupayaan resapan air hujan dan mengurangkan suhu mikro setempat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek menaik taraf kawasan lapang tersebut.
ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; Pengurus Projek PNBCAP UN-Habitat Malaysia, Dr. Kwan Soo Chen; serta Ahli Majlis MBPP, Chan Soon Aun turut berucap dalam majlis tersebut.
Turut hadir ialah Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datin S. Barathi; Pengarah JPS Negeri, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee; serta barisan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan berkenaan.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS