Tambahan RM250,000 TUTM bakal manfaat pelapis usahawan tani muda

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2017 pada 15 November lalu telah memberi tambahan sebanyak RM250,000 bagi meneruskan program Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM).

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 berkata, tambahan peruntukan tersebut dijangka bakal memanfaatkan tambahan 50 usahawan tani yang menceburi bidang pertanian, penternakan dan industri asas tani.

“Tabung ini diwujudkan bagi menambah minat golongan belia yang berumur 40 tahun dan ke bawah menceburi bidang asas tani serta mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Malah, Jawatankuasa TUTM juga akan terus menambah baik kriteria pemilihan agar lebih ramai belia dapat menyertai program ini,” ujarnya yang turut mempromosikan program tersebut kepada semua ADUN di Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang politik.

Bagi cadangan untuk meningkatkan had umur kelayakan TUTM, Afif memberitahu bahawa TUTM hanya memfokuskan bantuan kepada belia yang akan menjadi pelapis bagi memastikan kelestarian bidang pertanian dan industri asas tani negeri pada masa hadapan.

TUTM merupakan program pinjaman mikro kredit yang memberi bantuan berbentuk pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5,000 kepada usahawan tani muda terpilih.}