Bajet RM40 juta laksana projek tebatan banjir Parlimen Bayan Baru, bukti KM tepati janji – MP

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana meluluskan RM40 juta peruntukan untuk menangani cabaran banjir kilat di kawasan Parlimennya.

Tze Tzin berkata, beliau sendiri sebelum ini beberapa kali memohon peruntukan projek tebatan banjir untuk kawasan Parlimennya daripada Menteri berwajib, namun sehingga kini gagal.

“Selama beberapa bulan saya sendiri berhubung dengan Menteri dan juga Kerajaan Pusat untuk mendapatkan peruntukan menyelesaikan masalah banjir di Bayan Lepas, tetapi, kita (Pakatan Harapan) gagal.

“Kerajaan Pusat tidak memberikan peruntukan pada isu masalah banjir yang dimohon untuk (Parlimen) Bayan Lepas, sehinggalah saya menemui Ketua Menteri (sebelum pembentangan Bajet 2017 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri, DUN 15 November lalu).

“Saya amat gembira kerana Ketua Menteri memberi bantuan sepenuhnya kepada (Parlimen) Bayan Baru iaitu melalui Bajet 2017 Negeri, sebanyak RM40 juta diperuntukan untuk projek tebatan banjir di Bayan Baru.

“Ini bukti Ketua Menteri janji ditepati,” katanya pada sidang media di lobi DUN pada 18 November lalu di sini.

Tze Tzin dalam pada itu berharap, peruntukan itu dapat mengurangkan risiko banjir kilat akibat hujan lebat dan limpahan air sungai di kawasan kediaman penduduk sekitar Bandar Bayan Baru, Taman Ipin, Kampung Naran dan Kampung Batu Maung.

Pembentangan Belanjawan 2017 Negeri Pulau Punang pada 15 November lalu, Guan Eng mengumumkan peruntukan terbesar untuk mencegah banjir kilat, iaitu sebanyak RM220 juta, termasuk RM40 juta untuk Parlimen Bayan Baru