RUU Penternakan Babi 2016 lulus

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 24 November lalu meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Penternakan Babi 2016.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika membentangkan rang undang-undang tersebut berkata, Enakmen Penternakan Babi 2016 itu diperkenalkan bagi mengawal selia dan memastikan industri penternakan haiwan tersebut berkembang dengan sihat dan lestari demi masa hadapan generasi akan datang.

“Industri penternakan babi di Pulau Pinang adalah sebuah industri yang cukup penting untuk ekonomi dan keselamatan makanan (food security) negeri ini.

“Mengikut rekod pihak berkuasa tempatan negeri, sebanyak 195 ladang babi berlesen merangkumi 189 penternak dengan jumlah ternakan sebanyak 294,429 ekor dicatatkan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Menurut Afif, sebelum ini, para penternak babi menjalankan penternakan secara tradisional mengikut Undang-undang Kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, sedangkan kini, Kerajaan Persekutuan menyarankan penternakan moden dan berteknologi.

“Selaras dengan pelaksanaan sistem Modern Pig Farming (MPF) yang diluluskan di Kabinet pada 17 September 2014, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk mengadakan suatu rang undang-undang baru bagi menangani pelbagai isu berkaitan penternakan babi.

“Kaedah penternakan babi secara tradisional bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar, malah menyebabkan pencemaran bau, air dan isu keselamatan produk bagi penyalahgunaan ubat-ubatan terlarang,” jelasnya.

RUU Penternakan Babi 2016 terdiri daripada lapan bahagian yang antaranya mengandungi peruntukan bagi pelesenan, penguatkuasaan dan peraturanperaturan bagi penternakan babi