Tambang RM3 galak umum riadah di puncak Bukit Bendera

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

BUKIT BENDERA – Pengunjung Bukit Bendera bakal menikmati tambang naik dan turun keretapi fernikular ke puncak kawasan peranginan tersebut serendah RM3 seorang pada hari Isnin hingga Khamis, mulai jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi.

Manakala, pada hari cuti serta musim cuti sekolah, kadar tambang adalah seperti biasa iaitu RM8 seorang.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, langkah itu adalah sebagai menghargai pengunjung, khususnya warga setempat yang saban hari beriadah di sini pada awal pagi.

“Tambang murah ini demi menggalakkan lagi warga Pulau Pinang, khususnya yang berada di sekitar Bukit Bendera ini beriadah sambil menghirup udara yang paling bersih pada awal pagi.

“Syabas saya ucapkan kepada para peserta yang mengambil bahagian dan sampai ke puncak Bukit Bendera ini yang secara tidak langsung menunjukkan anda adalah sihat,” ujarnya yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) pada majlis penganjuran tahun kedua Penang Hill Heritage Forest Challenge 2015 di sini baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri memberi komitmen untuk sekurang-kurangnya melakukan satu projek pemajuan bagi tiap-tiap enam bulan di Bukit Bendera, sebagai menghargai pengunjung ke sini.

“Kelainan sentiasa perlu dibawa ke Bukit Bendera untuk menjamin kehadiran pelancong ke sini, terbaru kita (Kerajaan Negeri) baru menyiapkan pelantar pemandangan baru dan sedang menyiapkan satu lagi menara pemandangan untuk pelancong melihat panorama indah Pulau Pinang,” ujar beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Pada majlis itu, Guan Eng menyempurnakan majlis penyampaian hadiah berupa medal, wang tunai serta sijil penyertaan kepada para pemenang.

Bagi Kategori Lelaki (Malaysia), R. Rubern Kumar diumumkan Johan, diikuti, Yong Jin Kwang (Naib Johan) dan Kelvin Boon (tempat ketiga).

Manakala, Kategori Wanita (Malaysia) pula, Tan Bee Kim tampil peserta wanita tempatan terpantas, diikuti, Ng San Nee dan Cheng Lay Kim. Kategori Wanita Veteran, Deborah Jane unggul untuk tahun kedua berturut-turut, menewaskan, Cheng Lay Kim di tempat kedua dan Lim Siew Suan di tempat ketiga. N. Devandaran pula unggul bagi Kategori Lelaki Veteran meninggalkan Khir Salleh dan Yeoh Kien Boon di tempat kedua dan ketiga.

Memeriahkan penganjuran adalah acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal jenama SYM model E-Bonus.

}