Jadikan P. Pinang destinasi perubatan pilihan

SEBERANG JAYA – Dengan perkembangan teknologi perubatan hari ini, pembedahan implan koklea atau pemasangan alat bantu dengar yang ditawarkan di sebuah pusat perubatan swasta, Hospital Loh Guan Lye dekat George Town mampu menangani masalah pendengaran kanan-kanak.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Tenpin Boling Pekak Malaysia Ke-9 di sini baru-baru ini.

“Di Pulau Pinang, terdapat hospital swasta yang memberi peluang kepada kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang mengalami masalah pendengaran untuk mendengar semula,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Justeru, Afif berharap lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR), kerana kos pembedahan yang dilakukan di hospital tersebut bukanlah murah.

Tambah beliau, hospital-hospital di Pulau Pinang digalakkan untuk menyediakan lebih banyak teknologi perubatan canggih, memandangkan Kerajaan Negeri mahu terus menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik di rantau ini.

“Sekiranya mampu, kita (Kerajaan Negeri) mahu Pulau Pinang menerajui bidang ini (pemulihan pendengaran kanak-kanak) dan menyeru bukan sahaja hospital swasta, tetapi juga hospital kerajaan untuk sama-sama membantu mencari penyelesaian dan menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan bagi perubatan,” ujarnya.

Timbalan Presiden Persatuan Orangorang pekak Malaysia, Soo Kok Heng turut sertai majlis tersebut.

Secara purata, dua hingga lima kanak-kanak dalam setiap 1,000 kelahiran mengalami masalah pendengaran kongenital sejak lahir.

Berdasarkan data statistik itu, difahamkan, negara-negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Australia mewajibkan ujian saringan pendengaran dan pertuturan bagi setiap bayi baru lahir, namun bukan kemestian di tanah air ini.

Pun begitu, warganegara yang mempunyai bayi atau kanak-kanak lambat bertutur disaran membuat ujian saringan berwajib. Kejohanan tenpin boling yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Julai lalu, disertai lebih 100 peserta dan pegawai sukan dari seluruh Malaysia.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang bolehlah menghubungi persatuan berkenaan di talian 04 – 226 0160 atau emel ke, [email protected].