Tanam 60 pokok di Sg. Keluang harap gamit komitmen komuniti, NGO – Exco

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) baru-baru ini mengambil inisiatif menanam 60 pokok Tecoma di sepanjang tanah rizab Sungai Keluang sebagai kempen nilai kepada komuniti setempat untuk turut memberi komitmen memelihara serta memulihara semula sungai di negeri ini.

Mengulas lanjut, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berharap usaha murni tersebut turut mendapat partisipasi badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan berkaitan alam sekitar berwajib.

“Kerajaan Negeri ketika megambil alih tampuk pemerintahan telah mengenal pasti bahawa isu kebersihan sungai merupakan perkara utama yang perlu ditangani.

“Selain pencemaran, cabaran utama adalah ketika berlakunya banjir kilat sehingga mendorong kita (Kerajaan Negeri) melakukan kajian.

“Hasil kajian mendapati bahawa polisterina dan plastik menjadi penyumbang sehingga menyebabkan punca saliran tersumbat, malah ia juga sukar dilupuskan.

“Justeru, Kerajaan Negeri telah meminimunkan penggunaan bahan-bahan tersebut,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada penganjuran Program Pengindahan Rizab Sungai Keluang Daerah Barat Daya di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengarah JPS Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok.

Dalam pada itu, Sabri memuji komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kebersihan sungai, pengindahan kawasan serta memanfaatkan kawasan di tanah rizab sungai.

“Kawasan rizab Sungai Keluang akan dimanfaatkan sebaik mungkin supaya masyarakat akan lebih ‘dekat’ dan sayang kepada sungai.

“Kita berharap dapat mewujudkan kehijauan dan panorama yang menarik di sepanjang sungai sebagai lokasi santai seisi keluarga pada hujung minggu dan cuti umum menerusi inisiatif ini,” jelasnya.

Sungai Keluang sepanjang 2.4 kilometer (km) merupakan sungai utama di Parlimen Bayan Baru dengan lapan sungai mengalir masuk antaranya, Sungai Relau A, Relau B, Sungai Nibong Kecil, Sungai Tiram, Sungai Nibong Besar, Sungai Dua dan Sungai Sembilang.