Tangani buli sebelum melarat – Exco

GEORGE TOWN – Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2015, Kerajaan Negeri melalui MMK Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menganjurkan Seminar Anti Buli dan Asas Kaunseling khusus untuk penjawat awam di sini baru-baru ini

. Menurut Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, penganjuran seminar tersebut adalah selaras dengan isu semasa yang terjadi dewasa ini melibatkan penjawat awam.

“Penjawat awam adalah penggerak sesebuah pentadbiran dan hanya jika mereka ini sihat mental dan fizikal, maka pentadbiran akan menjadi bertambah kukuh serta progresif.

“Penjawat awam juga manusia dan tidak lari dari masalah buli sama ada sebagai pembuli atau menjadi mangsa buli.

“Buli bukanlah semata-mata melibatkan pelajar di bangku sekolah mahupun kanak-kanak di rumah, tetapi juga melibatkan mereka yang lebih berusia seperti anda (penjawat awam) semua yang mungkin terjadi di tempat kerja atau di rumah,” ucapnya ketika merasmikan Seminar Anti Buli dan Asas Kaunseling di sini baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan isteri serta ahli terapi dari badan bukan kerajaan (NGO), Cr8TvT@Heart, Priscilla Ho.

Selain memberi pendedahan terhadap faktor dan persekitaran masalah buli, panel jemputan iaitu Dr. Fred Toke turut berkongsi pengalaman apabila berdepan dengan pembuli serta mangsa buli di samping memberi tips-tips ke arah kaunseling berkesan.

Menurut Chong Eng, masalah buli memberi implikasi yang sangat besar terhadap emosi seseorang sekiranya mangsa tidak mampu mengawal emosi masing-masing. Dalam sesetengah kes, beliau memberitahu, mangsa akan menjadi lebih agresif dan lebih buruk lagi, ada yang sanggup bunuh diri atau bertindak mencederakan diri.

“Ada juga mangsa yang menjadikan anak-anak di rumah atau orang sekeliling yang dilihat lemah dan mudah untuk dibuli sebagai sasaran.

“Buli bukan sahaja melibatkan serangan fizikal, tetapi juga mental di mana penyerang lebih berkuasa dan mangsa pula jarang membalasnya atau takut untuk bertindak,” jelas beliau.

Tambah Chong Eng, masalah sosial dan pelanggaran disiplin seperti buli perlu ditangani segera sebelum ia melarat menjadi isu yang besar.

“Setiap lapisan masyarakat seperti saya dan anda semua, perlu memainkan peranan masing-masing serta memikul tanggungjawab dengan memberi perhatian khusus terhadap masalah buli ini.

“Sungguhpun jawatankuasa disiplin dan kaunseling ditubuhkan, namun, masyarakat sekeliling perlu buka mata dan memainkan peranan bagi mengekang masalah buli dari menular.

“Mangsa-mangsa buli harus berani tampil melaporkan insiden yang berlaku supaya tindakan wajar untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral ini dapat dilakukan segera,” serunya.

Dalam pada itu, Chong Eng juga berharap agar peserta yang hadir pada seminar berkenaan dapat memperoleh manfaat dan menggunakan pengetahuan yang diperoleh dengan sebaiknya dalam membantu rakan-rakan yang kemungkinan menjadi mangsa buli serta pada masa sama mengekang masalah buli dari menjadi wabak.