Tanpa mengira kaum bersatu pulihkan demokrasi – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sabitan ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Februari lepas sepatutnya terus membakar semangat rakyat Pulau Pinang tanpa berbilang kaum untuk memulihkan semula sistem demokrasi berpelembagaan di tanah ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Pulau Pinang di Seberang Perai Arena (SPA) di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut memuji kecekalan isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama anak-anak kerana sanggup terus mengorbankan perasaan masingmasing ketika Anwar ke penjara kini, demi memulihkan masa depan demokrasi negara.

“Saya berasa amat terharu dan gembira, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersama kita pada hari ini, isterinya Datuk Seri ‘Kak Wan’ ada bersama kita sebagai simbol perjuangan rakyat dalam memulihkan sistem demokrasi negara yang kita cintai ini.

“Ingatlah kita, semua rakyat Pulau Pinang tidak kira bangsa Cina, Melayu mahupun India perlulah menjaga antara satu sama lain, membela antara satu sama lain dan kongsi bersama satu sama lain,” serunya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Yang di-Pertua Negeri (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff merupakan tetamu utama keraian tersebut.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I), Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Exco-Exco Kerajaan Negeri turut hadir bersama-sama isteri masing-masing.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mokhtar Mohd. Jait dan isteri.

Menurut Guan Eng, pendemokrasian Kerajaan Negeri bukan sahaja menggamit pelabur ke Pulau Pinang, malah turut memberi manfaat kepada 1.6 juta warga negeri melalui program-program Emas.

“Pada tahun 2014, jumlah pelaburan telah meningkat kepada RM8.2 bilion daripada RM3.9 bilion (2013).

“Untuk pengetahuan semua, Kerajaan Negeri telah berjaya meningkatkan pelaburan kepada RM48.2 bilion untuk tempoh masa tujuh tahun di antara 2008 – 2014 berbanding dengan tujuh tahun sebelumnya pada 2001-2007 sebanyak RM24.8 bilion sahaja iaitu peningkatan lebih 93 peratus,” ujar beliau.

Rakyat berbilang kaum yang hadir pada majlis rumah terbuka ini bukan sahaja dihiburkan dengan tarian-tarian pentas penuh warna-warni, bahkan, turut berpeluang menikmati pelbagai sajian tradisional enak Pulau Pinang.

}