Tapak pelupusan sampah Jelutong bakal dibangun semula

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNKerajaan Negeri memberi kepercayaan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk menjalankan  kajian kebolehlaksanaan proses memulihara dan membangunkan semula tapak pelupusan sampah di Jelutong di sini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pemuliharaan dan pembangunan semula tapak pelupusan sampah tersebut perlu dilaksana secara terperinci dan sistematik.

“Ia merupakan proses yang panjang dan melibatkan beberapa aspek antaranya alam sekitar serta keselamatan penduduk sekitar.

“Menyedari ianya sesuatu proses yang amat rumit dan melibatkan pelbagai risiko, PDC praktikkan langkah berjaga-jaga dalam megenalpasti dan memilih perunding untuk mengambil alih kajian kebolehlaksanaan proses berkenaan,” jelas Kon Yoew pada sidang media di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh\ dan Timbalan Pengurus Besar PDC, Iskandar Basha Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Iskandar Basha menjelaskan bahawa pada 31 Januari lalu, PDC telah memanggil 11 buah syarikat berpengalaman dalam lapangan masing-masing untuk menghantar proposal berkaitan penyelenggaraan pemulihan dan kajian kebolehlaksanaan ke atas tapak pelupusan sampah berkenaan.

“Tujuan utama adalah untuk menilai kajian kebolehlaksanaan terhadap tapak tersebut dan menyesuaikannya untuk satu tempoh jangka panjang.

“Kajian tersebut penting bagi mengelakkan status tapak pelupusan sampah tersebut dipersoalkan,” jelas Iskandar.

Berdasarkan kajian dijalankan, Model Konsepsi Tapak atau Conceptual Site Model (CSM) akan dibangunkan untuk mendiskripsikan kebolehlaksanaan tapak terbabit dan persekitarannya.

“Hal ini termasuk potensi hipotesis untuk mengenalpasti pencemaran data, bahan cemar dan mekanisma pengangkutan bersesuaian yang berkemungkinan mencipta risiko di tapak pelupusan.

“Kemudian, kerangka pemuliharaan dan pembangunan semula untuk tapak ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan dapat mengekalkan elemen-elemen keselamatan dan pemuliharaan,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, PDC kini telah menilai setiap proposal dan sehingga kini, terdapat dua syarikat disenaraipendekkan untuk sesi temuduga.

“Dijangkakan perunding yang berjaya akan diketahui April ini,” jelas Iskandar yang turut memaklumkan bahawa tempoh kajian berkenaan adalah selama tujuh bulan dan ia masih perlu melalui beberapa lagi proses lain dalam memastikan minimum risiko.