Semua berperanan tangani jenayah – KM

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNKetua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yakin bahawa selain komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), penurunan kadar jenayah dalam negeri turut disumbang oleh kerajinan dan keberkesanan pelaksanaan tugas Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di sini.

Kata beliau, semua pihak memainkan peranan dalam membantu pasukan PDRM membanteras kejadian jenayah.

“Kita juga kena bantu pihak polis dalam menangani jenayah dan tidak hanya boleh bergantung kepada mereka semata-mata. Ini kerana, semua bertanggungjawab dalam menangani hal ini,’’ katanya pada Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Anggota PPS Bahagian Pulau Negeri di sini baru-baru ini.

Turut hadir, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin yang kini merupakan Ahli Parlimen Bayan Baru, ADUN Batu Lanchang, Danny Law Heng Kiang, ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow, ADUN Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan ADUN Air Itam, Wong Hon Wai.

Sehingga kini, keanggotaan PPS telah mencapai 10,000 ahli. Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PPS negeri, Ng Wei Aik menekankan tentang perlunya tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan anggota PPS.

“Kita akui, sebilangan kecil memang ada terlibat dalam masalah ini, justeru, kita (pihak atasan) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya didapati bersalah,’’ tegasnya.

Beliau dengan itu merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh anggota PPS atas dedikasi yang diberikan.

“PPS bukan milik Pakatan Rakyat semata-mata. Pasukan ini perlu menolong masyarakat,’’ ujar Wei Aik.