Pulau Pinang terus catat peningkatan pelaburan – Rashid

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan bernilai RM59.2 bilion dari tahun 2008 hingga 2016, yang mana menyaksikan peningkatan 73 peratus pelaburan berbanding tempoh yang sama dari tahun 1999 hingga 2007 di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri terdahulu.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, angka tersebut menunjukkan peningkatan ketara di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

“Bagi tempoh 2008 hingga 2016, pelaburan Pulau Pinang meningkat kepada RM59.2 bilion berbanding pentadbiran dahulu kurang RM34 bilion bagi tempoh sama (1999 hingga 2007).

“Malah, Kerajaan Negeri memandang sektor perkhidmatan sebagai satu platform pemangkin ekonomi berpendapatan tinggi dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Dialog dan Iftar di bawah MMK Usahawan, Koperasi, Pengusaha Industri dan Ketuaketua\ Jabatan Pejabat Kerajaan Negeri Bersama-samanya di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, seramai 200 pemain industri dan usahawan turut mengambil bahagian.

Tambah Mohd. Rashid, selain pelaburan, sektor industri dan keusahawanan negeri turut berkembang pesat.

“Ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri keusahawanan, Kerajaan Negeri turut menyediakan pelbagai akses kemudahan pinjaman seperti pinjaman tanpa faedah (kali pertama) Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM), Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dan bantuan-bantuan kebajikan lain kepada usahawan kecil di negeri ini,” jelas beliau.