GEORGE TOWN – Meraikan ulang tahun ke-10 taman tema pendidikan dan hiburan The TOP Penang mengumumkan promosi RM10 bagi setiap tarikan taman tema tersebut di Komtar.
Menurut Pengurus Besar The TOP Penang, Azrul Shah Mohamad, promosi RM10 tersebut khusus kepada rakyat Pulau Pinang sebagai tarikan utama bermula 1 Disember 2025 sehingga 30 November 2026.
“Pengumuman ini juga serentak sebagai meraikan ulang tahun Komtar yang akan memasuki usia 40 tahun pada 2026.
“Promosi ini terbuka kepada rakyat Pulau Pinang dan pemaustatin, kalau alamat di luar tetapi kerja di Pulau Pinang, juga boleh kemukan bukti majikan, bil utiliti dan sebagainya.
“Kita bagi kelonggaran agar lebih ramai dapat merasai pengalaman di The TOP Penang,” ujarnya dalam satu sidang media di Tingkat 67 di sini pagi tadi.
Serentak dengan itu, The TOP Penang juga menyediakan beberapa persedian dan promosi melibatkan perayaan Krismas, tahun baru, Tahun Baru Cina, Hari Valentine dan buffet Ramadan.
Difahamkan, setiap individu tidak dikenakan sebarang had untuk menikmati keseronokan di The TOP Penang, boleh digunakan lebih daripada sekali.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) KOMTAR, Teh Lai Heng dan Penolong Pengurusan Besar The TOP Penang, Zaidinar Mohamed.
Lai Heng dalam pada itu menyambut baik usaha The TOP Penang sambil menyifatkan ia sebagai usaha menaikkan sektor pelancongan Pulau Pinang.

“Inisiatif ini sungguh memberi makna kepada penduduk Pulau Pinang, terutamanya akses untuk tarikan-tarikan di Komtar.
“Tidak semua orang Pulau Pinang pernah naik ke tingkat 68, kerana saya pernah dimaklumkan bahawa memang ada individu yang tidak pernah naik ke puncak Komtar.
“Dengan adanya promosi ini, ia membuka akses kepada semua pada harga berpatutan sambil menikmati tarikan-tarikan yang disediakan pada harga RM10 setiap satu,” katanya lagi.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI