SEBERANG JAYA – Selaras dengan inisiatif hijau yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), sejumlah 65 tong kitar semula diagihkan kepada 10 sekolah di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal dan enam di KADUN Bagan Dalam.
Semasa berucap, Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor berharap inisiatif tersebut melonjak sokongan lebih besar sektor sekolah rendah dan menengah di negeri ini untuk menyokong dasar pengasingan sisa di punca.
“Masa depan Seberang Perai tidak hanya ditentukan oleh dasar atau projek kerajaan, tetapi oleh nilai yang kita tanam dalam generasi hari ini.
“Dengan kerjasama sekolah, guru, pelajar, komuniti dan Ahli Majlis, saya yakin kita mampu mencapai sasaran pengurangan 70 peratus sisa ke tapak pelupusan menjelang tahun 2030,” jelasnya dalam majlis berkaitan di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 12 Disember 2025.
Berucap selepas itu, ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran merakamkan penghargaan kepada dua Ahli Majlis MBSP, Ng Yee Siang dan Benson Neoh Kah Wei kerana mencetuskan usaha murni serta menaja kos penyediaan tong sampah kitar semula termasuk khusus untuk sisa elektronik dan sisa akhir untuk 16 sekolah berkenaan.
Sementara itu, ADUN Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen pula berharap usaha kolektif pelbagai pihak itu dalam menerapkan budaya pendidikan hijau pada peringkat sekolah.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB